Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

COVID-19: Kes Hampir Cecah 6,000, Agak-Agak PKP 3.0 Sambung Tak?

Amri Hassan
25/06/2021 08:33 MYT
Tiga hari berturut-turut, jumlah kes harian jangkitan COVID-19 di Malaysia masih belum mencatatkan penurunan.

Awal minggu ini, ada harapan kes akan terus menurun selepas merekodkan jumlah jangkitan wabak itu di bawah 5,000 kes.

Namun, hari ini sebanyak 5,812 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 kini mencecah 722,659 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, Selangor merekodkan sebanyak 2,187 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 771 kes dan Sarawak sebanyak 673 kes.

"Seterusnya, Negeri Sembilan (658 kes), Pulau Pinang (270 kes), Melaka (223 kes), Johor (196 kes), Kedah (186 kes), Sabah (156 kes), Pahang (139 kes) dan Labuan (123 kes).

"Negeri lain adalah Kelantan (98 kes), Perak (72 kes), Terengganu (46 kes), Putrajaya (14 kes) manakala, tiada jangkitan baharu di Perlis," katanya.

Memetik semula kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, purata kes COVID-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara beralih ke fasa kedua mengikut Pelan Pemulihan Negara.

Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa adalah strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 bagi mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun ini.

Ia bersandarkan tiga indikator iaitu keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di ICU dan indikator ketiga adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun lalu telah dilanjutkan selama dua minggu sehingga 28 Jun ini.

Rakyat masih berdebar, adakah mungkin PKP 3.0 ini akan terus dilanjutkan selepas tarikh itu atau akan beralih ke fasa seterusnya?

Foto: Berita Harian
#KKM #Jangkitan #COVID-19 #Kes #Update