Berita
COVID-19: Penjara & Denda Jika Ingkar Perintah Kawalan Pergerakan!
Individu degil yang melanggar arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac, untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19, berdepan hukuman penjara atau denda.
Pengamal undang-undang berpendapat bahawa jika pendekatan lebih lembut tidak dapat menjamin pematuhan sepenuhnya, pihak polis boleh menahan dan mendakwa mereka di mahkamah.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata untuk keselamatan dan kesihatan majoriti dan mengambil kira pelaksanaan PKP yang telah masuk minggu kedua, sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa melaksanakan undang-undang dengan tegas iaitu menahan dan mendakwa individu yang dengan sengaja tidak mematuhi perintah itu.
"Pada ketika ini, kepentingan awam adalah melebihi kepentingan individu, mereka yang tidak mematuhi undang-undang, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Mana-mana individu yang melakukan suatu kesalahan di bawah akta ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.
Sementara itu, Presiden Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir berkata orang awam perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa.
"Orang ramai harus sedar, ini adalah perang menentang musuh-musuh yang tidak kelihatan, dan kita perlu memahami dan membantu untuk mengawal pandemik.
"Mana-mana pelanggaran perintah ini (PKP) adalah satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara.
"Bagaimanapun, kerana kita dalam situasi yang tak pernah dialami dan kerana banyak ketidakpastian, saya mendesak pihak berkuasa untuk menggunakan pendekatan yang lembut dengan memberi amaran dan menasihati dan mematuhi peraturan undang-undang dalam menangani pesalah dan seboleh-bolehnya mengelakkan penahanan dan pendakwaan, melainkan situasi yang memerlukan langkah-langkah lebih tegas diambil," katanya.
Peguam Datuk Hariharan Tara Singh pula berkata pihak polis perlu menangkap sesiapa yang dengan sengaja menghalang mana-mana penjawat awam dalam menjalankan tugasan untuk menguatkuasakan PKP.
Hariharan menambah, sesiapa dengan sengaja menghalang mana-mana kakitangan awam dalam melaksanakan fungsi awamnya, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Seorang mekanik menjadi orang pertama didakwa atas pertuduhan berkaitan dengan PKP iaitu menghalang seorang penjawat awam daripada menjalankan tugas penguatkuasaan Ops COVID-19.
S. Punniamurthy, 33, yang mengaku bersalah atas pertuduhannya di Mahkamah Majistret Sungai Siput, Perak, didenda RM5,000 dan jika dia gagal membayar denda, dia boleh dipenjara 10 bulan.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda itu.
Sementara itu di Kuala Lumpur, dua lelaki menjadi individu pertama yang dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang pegawai polis yang menjalankan tugas pencegahan COVID-19.
Pembantu kedai S.Sugendran, 31, dan pengawal keselamatan, M. Annblagan, 37, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua bulan selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
PKP yang berkuat kuasa selama 14 hari bermula Rabu lepas antara lain melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali mereka yang menyediakan perkhidmatan penting dan semua rumah ibadat serta premis perniagaan kecuali pasar raya, pasar basah, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual keperluan harian.
Kerajaan juga menyeru orang ramai untuk berada di rumah dan mengelakkan keluar rumah semasa tempoh perintah untuk mencegah penyebaran COVID-19 di negara ini.
Sumber: Bernama
Foto: Carian Google, Malaysiakini