Berita
COVID-19: Restoran Tetap Beroperasi, Tetapi Hanya Boleh Bungkus Makanan Sahaja
Premis restoran dan kedai makan masih dibenarkan beroperasi seperti biasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) dilaksanakan bermula tengah malam ini, lapor Astro AWANI.
Bagaimanapun, tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, pelanggan hanya dibenarkan membungkus atau membuat permintaan penghantaran makanan ke tempat masing-masing.
"Kita galakkan pemilik restoran membuat perkhidmatan penghantaran bagi memudahkan orang awam," katanya menerusi satu sidang media di Putrajaya pada Selasa.
Tambahnya lagi, penjarakan sosial atau ‘social distancing’ adalah langkah selamat bagi menghalang penyebaran COVID-19.
“Social distancing, jangan kita pergi merayau-rayau ataupun seperti biasa, kita seharusnya buat ‘social distancing’.
“Ini bermakna, kalau terpaksa buat apa-apa aktiviti yang mungkin amat diperlukan, apa perlu buat, apa boleh buat, sebenarnya arahan ialah kita tutup di mana kalau boleh tidak terlalu terdesak, aktiviti kita jangan buat.
“Ini supaya rakyat kita lebih duduk di rumah,” tambah Alexander Nanta.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pusat beli-belah, bazar, pasar malam dan gerai di tepi jalan yang tidak menjual barangan keperluan juga perlu ditutup selama dua minggu akan datang kerana ia mengundang risiko.
"Pasar malam tidak dibenarkan beroperasi kerana ia mengundang ramai orang," katanya lagi.
Beliau pada masa sama memberitahu, orang ramai tidak perlu bertindak secara melulu dengan membuat pembelian panik kerana bekalan makanan masih mencukupi.
“Tidak memerlukan pembelian panik , tidak memerlukan mana-mana pihak untuk beli terlalu banyak (barangan keperluan), atau hoarding terlalu banyak atau overstocking sebab memang mencukupi bahan-bahan keperluan kita.
“Kita akan pastikan supermarket dan sebagainya sentiasa ada stok dan kita memang memerlukan kerjasama daripada pihak peruncit dan pasar raya.
"Masalahnya ialah jika pembelian panik berlaku, ia boleh menyebabkan banyak masalah kerana semua orang berebut mendapatkannya," katanya lagi.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mengenai situasi semasa COVID-19.
Muhyiddin berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara itu adalah bagi menyekat penularan wabak COVID-19 dalam masa terdekat.
Sumber: Astro AWANI
Must-Watch Video