Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

COVID-19: Seorang Pekerja Disyaki Positif, IKEA Damansara Tutup Sehari

Zulaikha Yusof
07/11/2020 10:05 MYT
Kedai kelengkapan rumah, Ikea Damansara ditutup sehari hari ini selepas seorang pekerja sambilannya disyaki dijangkiti COVID-19.

Memetik laporan Astro Awani, syarikat tersebut dimaklumkan pada 6 November (Jumaat) bahawa petugas berkenaan disyaki dijangkiti COVID-19 dan kini di bawah jagaan pihak berkuasa sambil menunggu ujian.

“Sebagai tindakan pencegahan proaktif, cawangan kami akan ditutup pada 7 November untuk menjalani kerja-kerja sanitasi dan pembersihan, sesuai dengan standard Kementerian Kesihatan.

“Cawangan kami akan beroperasi semula pada 8 November 2020,” katanya.

Ikea turut menjelaskan, kali terakhir pekerja berkenaan bertugas di premis tersebut ialah pada 30 Oktober lalu.

Sehubungan itu, Ikea kini bekerjasama dengan pegawai kesihatan dan akan mengikut nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Kami (Ikea) akan terus memastikan semua langkah pencegahan dilakukan di cawangan kami untuk memastikan keselesaan dan keselamatan semua orang.

"Langkah-langkah ini termasuk aplikasi MySejahtera untuk menjejaki kontak, penanda penjarakan fizikal, pengimbas suhu di semua pintu masuk dan menyediakan sanitizer.

"Kami juga menggalakkan semua orang melakukan kewajipan mereka dengan menyokong dan mengikut arahan kerajaan untuk mencegah penyebaran Covid-19," katanya lagi.

Sumber & Foto: AWANI
#Ikea #Tutup #COVID-19
;