Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Covid-19: Setelah Ramai Pesakit Pulih, China Sumbang Peralatan Perubatan Kepada Malaysia

Azwa Rahman 19/03/2020 | 10:04 MYT
Setelah lebih 70,000 pesakit Covid-19 dilaporkan pulih di China, negara itu kini mula menghulurkan bantuan kepada negara lain antaranya Malaysia.
Menerusi laman sosial Facebook, Kedutaan China di Malaysia memuat naik lapan foto menunjukkan beberapa petugas sedang memasukkan kotak-kotak yang dipercayai mengandungi peralatan perubatan ke dalam lori untuk diedarkan.
"Tindakan tanpa berlengah! Penghantaran kumpulan pertama peralatan perubatan dari China kini dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh", tulis pengendali akaun Facebook itu menerusi satu hantaran.
Malaysia antara negara terpilih dan dilaporkan puluhan atau ratusan kotak peralatan perubatan dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
Proses memasukkan berkenaan dipercayai dilakukan di pekarangan Kedutaan China di Malaysia, di Kuala Lumpur.
Apa yang menarik perhatian adalah rentangan sepanduk di lori dengan ayat "Bukit Sama Didaki, Lurah Sama Dituruni".
Turut tertulis di sepanduk adalah "Perangi COVID-19 dengan kerjasama dan perpaduan" dan kesemua ayat berkenaan ditulis dalam bahasa Melayu dan Mandarin.
Baru empat jam hantaran itu dimuat naik, ia mendapat hampir 7,000 perkongsian serta hampir 1,000 komen positif daripada wargamaya.
Hari ini negara China mengesahkan tiada lagi kes jangkitan domestik COVID-19.
Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, sebanyak 70,420 daripada 80,928 individu yang positif COVID-19 dilaporkan pulih sepenuhnya.
Jumlah kematian terkini di China adalah sebanyak 3,245.
Sumber: Astro Awani
#Malaysia #China #COVID-19
;