COVID-19: Taman Tema Di Shanghai Hentikan Operasi, Pengunjung Tak Dibenarkan Keluar
Gempak
31/10/2022 17:07 MYT
31/10/2022 17:07 MYT
Sebagai langkah pencegahan COVID-19, Shanghai Disney Resort menghentikan operasinya pada Isnin.
Kesemua pengunjung tidak dibenarkan meninggalkan kawasan berkenaan sehingga ujian yang dijalankan membawa keputusan negatif.
Menurut pihak taman tema berkenaan, mereka akan menutup taman berkenaan dan kawasan sekitarnya serta-merta termasuk lorong beli-belah sehingga notis baharu dikeluarkan.
Kerajaan Shanghai berkata, pihaknya menghalang orang ramai daripada masuk atau keluar dan semua pelawat perlu menunggu keputusan ujian mereka sebelum mereka dibenarkan keluar.
"Sesiapa yang telah melawat taman itu sejak 27 Oktober perlu melakukan ujian Covid-19 tiga kali dalam tiga hari," katanya.
Taman tema itu terus mengendalikan operasi permainan untuk pengunjung yang terperangkap di taman itu pada Isnin, lapor pengguna media sosial.
Jurucakap Shanghai Disney Resort berkata resort itu masih beroperasi pada "tawaran terhad" dan mereka mengikuti langkah selaras dengan garis panduan daripada pihak berkuasa kesihatan China.
Resort itu telah mula beroperasi dengan tenaga kerja yang berkurangan untuk mematuhi langkah COVID-19.
Terdahulu, Shanghai melaporkan 10 kes penularan tempatan pada 30 Oktober, yang kesemuanya dikatakan adalah individu tanpa gejala.
Penutupan itu menandakan gangguan terbaru untuk Shanghai Disney Resort, yang ditutup selama lebih tiga bulan semasa penutupan awal tahun ini.
Taman itu juga ditutup selama dua hari pada November tahun lalu dengan lebih 30,000 pengunjung terperangkap di dalam, selepas pihak berkuasa mengarahkan kesemua mereka diuji dalam latihan pengesanan kontak rapat.
Pihak berkuasa tempatan di seluruh China terus mengenakan langkah mendadak dan ekstrem untuk mengurangkan sebarang kemungkinan penularan virus sebaik sahaja kes timbul, selaras dengan pendekatan toleransi sifar-Covid yang ketat.
HARIAN METRO
Foto: Reuters
HARIAN METRO
Foto: Reuters