Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

COVID-19: “Teater Siti Di Alam Fantasi Batal, Sedih Tengok Reaksi Pelakon Kanak-Kanak Yang Menangis…” – Pengarah Istana Budaya

Fiza Kamarudin 15/03/2020 | 12:50 MYT

Ketua Pengarah Istana Budaya (IB) Datuk Mohamed Juhari Shaarani sedih melihat reaksi pelakon kanak-kanak teater muzikal Siti Di Alam Fantasi selepas diberitahu tentang pembatalan pementasan tersebut.

Berkongsi berita dengan pelakon dan kru produksi Siti di Alam Fantasi, Jumaat lalu, Mohamed Juhari berkata, reaksi mereka meluluhkan hatinya.

“Sepatutnya, Jumaat lalu, raptai penuh dibuat. Namun, disebabkan mahu mengelak lebih banyak kos ditanggung, kami tidak jadi melakukannya.

“Ketika berita pembatalan pementasan disampaikan, pelakon kanak-kanak rata-ratanya menangis. Mereka sedih... Itu yang membuatkan suasana jadi pilu.

“Mengapa tidak, mereka sudah bersedia untuk mementaskan lapan persembahan, namun akhirnya semua terpaksa dibatalkan,” katanya.

Sepatutnya dipentaskan dalam lapan slot, Siti di Alam Fantasi arahan Aminah Rhapor menampilkan barisan pelakon seperti Janna Nick, Issey Fazlisham, Atu Zero dan Isma Halil Hamzah.

Mohamed Juhari berkata, penjualan tiket Siti di Alam Fantasi sangat memberangsangkan apabila 500 tiket bagi persembahan malam pertama terjual.

“Bagi peminat yang sudah membeli tiket, mereka boleh menghubungi IB untuk mendapatkan pulangan wang,” katanya.

Menimbang faktor keselamatan apatah lagi 50 peratus pendukung watak adalah kanak-kanak, Istana Budaya (IB) membatalkan pementasan teater muzikal, Siti di Alam Fantasi yang sepatutnya bermula. semalam.

Keputusan tersebut dibuat kerana akur dengan arahan kerajaan berhubung pengawalan COVID-19, pihaknya membatalkan pementasan teater muzikal berkenaan yang sepatutnya berlangsung sehingga Sabtu depan.

“Pada awalnya, kami mendapat saranan Kementerian Kesihatan untuk membatalkan mana-mana program yang menghimpunkan lebih dari 250 orang.

“Tidak lama kemudian, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua perhimpunan ditangguh atau dibatalkan sehingga 30 April depan berikutan penularan COVID-19.

“Tidak mahu mengambil risiko dengan 50 peratus pendukung watak adalah kanak-kanak, kami mematuhi arahan kerajaan dan memutuskan Siti di Alam Fantasi dibatalkan,” katanya.

Mohamed Juhari berkata, berikutan pembatalan itu, IB menanggung kerugian kira-kira RM300,000.

Sumber: BH Online.

#COVID-19 #Teater Muzikal Siti Di Alam Fantasi
;