Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, yang menjadi lokasi seorang wanita menanggalkan baju kurung dan tudung ketika membuat persembahan komedi, disimbah cat oleh dua lelaki pada pagi 19 Julai.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata sebahagian cat yang dibaling oleh lelaki berkenaan turut terkena pintu utama sebuah bank tempatan berhampiran.

Katanya laporan polis telah dibuat oleh pekerja bank berkenaan pada jam 10 pagi dan diikuti laporan dari pemilik restoran terbabit pada pukul 4 petang.

Amihizam berkata, pemilik restoran seorang lelaki berusia 39 tahun memberitahu restoran miliknya telah disimbah cat berwarna merah pada papan tanda restoran manakala lantai pintu utama menuju ke tangga disimbah cat bewarna hitam.

“Polis telah membuat semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank dan restoran berkenaan dan mendapati kejadian berlaku antara pukul 4.15 pagi hingga 5.09 pagi.

“Semakan turut mendapati dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja telah membalingdua plastik berisi cat merah dan hitam ke arah papan tanda restoran berkenaan namun, sebahagian dari cat hitam yang dibaling ke arah restoran telah terkena pada pintu utama bank.

“Rakaman CCTV akan dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk mendapatkan analisis pakar,” katanya dalam satu kenyataan.

Amihizam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (laitu melakukan khianat).

Terdahulu , tular video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita berpakaian sopan menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan stand-up comedy (komedi solo) di tersebut.

Susulan insiden berkenaan, wanita berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada 9 Julai lalu, manakala teman lelakinya turut ditahan pada 10 Julai lepas.

Sumber - BERNAMA