Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob meminta umat Islam di negeri ini mengadakan solat hajat memohon hujan sebagai ikthiar mengelakkan kemarau melampau.

Ahmad menyarankan perkara itu menerusi satu kenyataan di akaun Facebook miliknya hari ini.

Beliau memohon imam melaksanakan solat hajat di masjid atau surau di seluruh negeri memohon hujan untuk kesejahteraan penduduk.

"Negara kini berhadapan dengan cuaca terlalu panas yang dijangka sehingga Ogos depan berikutan peralihan monsun.

"Untuk itu, saya menyeru rakyat Kelantan perbanyakkan istighfar dan berdoa kepada ALLAH SWT serta mengambil peluang solat hajat di rumah masing-masing.

"Semoga dengan usaha dan ikhtiar ini, ALLAH SWT menurunkan rahmat-Nya kepada kita semua dengan menganugerahkan hujan secara merata lagi menyegarkan bumi ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan terdapat tujuh kawasan di Semenanjunh dan dua di Sabah diramal mengalami cuaca panas Tahap 1 (berjaga-jaga) sekurang-kurangnya untuk tiga hari berturut-turut dengan suhu maksimum boleh mencecah antara 35 dan 37 darjah Celsius.

Kawasan terlibat di Semenanjung ialah Kuala Terengganu (Terengganu), Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah (Kelantan), Rompin (Pahang) dan Jempol (Negeri Sembilan).