Seorang warganegara New Zealand didenda RM6,000 oleh mahkamah kerana cuba membuka pintu pesawat Malaysia Airlines (MAS) di udara, ketika penerbangan dari New Zealand ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu ke atas Cranwell Frazer Harry, 32 tahun, selepas tertuduh yang memakai baju penjara berwarna jingga mengangguk faham dan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu yang masih bujang, dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohamad Izwan memberi amaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatannya yang merupakan satu kesalahan serius kerana boleh membahayakan nyawa penumpang dan anak kapal.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 97 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206 (3)(a) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.


Sumber: Sinar Harian