“Cuci Organ Dalaman Haiwan Korban Di Sungai Boleh Jadi Haram Jika...” – Ustaz Hadhari
Penyampai radio Zayan, Tajdid Hadhari yang juga dikenali sebagai Ustaz Bola, tampil memberi penjelasan mengenai isu tular yang membabitkan tindakan sesetengah pihak mencuci usus atau najis haiwan korban di sungai sempena Hari Raya Aidiladha.
Menurutnya, perbuatan itu dari sudut asas hukum Islam adalah harus, namun tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang jika tidak dipatuhi boleh menjadikan perbuatan tersebut haram.
“Ramai yang tanya apa hukumnya… bahkan ada yang berlawan pula mengenai pendapat apa hukumnya cuci usus haiwan korban ataupun najis di sungai ataupun sumber-sumber air.
“Dalam Islam, kita kena faham dulu ada lima maqasid syariah yang kita kena jaga. Cantiknya Islam ni, dia minta kita sebagai umat Islam kena jaga lima perkara.
“Hukum asas iaitu hukum untuk menjaga kelestarian alam sekitar adalah wajib bagi kita sebab termasuk dalam maqasid syariah tadi yang kelima,”ujarnya ketika dihubungi Gempak.
Cuci Najis Haiwan Korban: Harus Dengan Syarat
Menurutnya lagi, hukum mencuci najis haiwan di sungai atau sumber air pada dasarnya adalah harus, namun perlu mematuhi syarat-syarat tertentu agar tidak menimbulkan mudarat kepada manusia, haiwan, atau alam sekitar.
Antara syarat yang digariskan termasuk:
1. Air sungai mestilah mengalir dengan banyak, bukan air yang bertakung atau mengalir perlahan.
2. Tidak mencemarkan air atau memberi kesan kepada makhluk hidup dan manusia yang menggunakannya, contohnya masyarakat Orang Asli.
3. Tidak menyebabkan bau busuk atau pencemaran yang mengganggu penduduk sekitar.
4. Tidak melanggar undang-undang tempatan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
Dalam penjelasan itu juga, Ustaz Hadhari turut memetik pandangan Imam An-Nawawi yang menyatakan bahawa air yang banyak dan mengalir tidak menjadi najis kecuali jika berubah sifatnya kerana najis.
“Imam An-Nawawi pernah sebut air mutlak iaitu air yang banyak mengalir tidak najis dan boleh digunakan untuk mengangkat hadas, melainkan jika berubah sifatnya kerana najis.
“Dalam konteks moden, ulama kontemporari ada juga letakkan etika jaga alam sekitar sebagai penting dalam ibadah kita.
“Jika perbuatan tersebut menjejaskan kebersihan dan melanggar peraturan, ia tidak lagi dianggap harus.
“Andai kata menjadi najis dan juga melanggar undang-undang kebersihan, maka ia boleh jadi haram,” kongsinya.
Dalam pada itu, Ustaz Hadhari turut menasihati semua pihak yang terlibat dalam pengurusan ibadah korban agar meneliti syarat-syarat ini dan tidak mengambil mudah terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar.
“Kepada pihak yang mengadakan korban ataupun yang menguruskan korban, dia kena pastikanlah iaitu tiga syarat tadi.
“Yang kedua, tidak menyebabkan mudarat terutamanya bau busuk ataupun kawasan setempat kegunaan awam.
“Dan yang ketiga, tidak menyalahi undang-undang. Wallahu a’lam,” tambahnya.