HIBURAN

‘Culture Shock’ Di Filipina… Ben Amir Dipandang Serong Sebab Makan Guna Tangan - “Saya Rasa Macam …”

Umirah Halim 22/08/2025 | 03:55 MYT
Pelakon Ben Amir mengakui berdepan kejutan budaya selepas memilih menetap di Pulau Siargao, Filipina sejak Mei lalu.

Menurut Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 35, situasi itu dialami apabila dia makan menggunakan tangan, sedangkan kebanyakan masyarakat di sana lebih selesa menggunakan sudu dan garpu.

“Culture shock tu ada juga. Tapi tak adalah macam terlalu shock sebab Malaysia, Filipina, Indonesia apa semua ni, kita seperti saudara jauh.

“Adat ke lebih kurang sama. Tak adalah jauh sangat berbeza. Cuma saya pelik, mereka (orang Filipina) tak makan dengan tangan. Mereka guna sudu.

“Jadi, bila saya kat sana salah satu culture shock yang saya rasa macam pelik bila saya makan dekat kedai sana guna tangan, semua pandang semacam.

“Even orang-orang kampung pun, makan guna sudu, mereka tak pakai guna tangan, itu satu benda yang pelik bagi saya.

“Kawan saya kata kalau makan pakai tangan di Filipina, orang akan pandang rendah,” katanya.

Namun begitu, Ben tetap memilih untuk mengekalkan cara makan tradisi Malaysia yang dianggap lebih nikmat.

“Bagi saya, saya mewakili Malaysia, orang Asia. Tak kisahlah, saya makan guna tangan je, lagi sedap kan,” ujarnya.

Terdahulu, Ben menjual hampir semua harta miliknya kecuali sebuah kereta sebelum berpindah ke Filipina demi mencari ketenangan dan hala tuju baharu selepas hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia lakonan.

Menerusi perkembangan lain, Ben Amir membintangi filem Legasi: Bomba The Movie.

Selain Ben, Legasi: Bomba The Movie dibintangi oleh Nas Muammar Zar (Nas-T), Henley Hii serta disokong oleh pelakon sampingan seperti Hairie Othman, Ammar Alfian, Fad Anuar, Abbas Mahmood Sasidaran, Nia Atasha dan Mathni Razak.

Legasi: Bomba The Movie ini merupakan sebuah produksi yang diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, menjadikannya bukan sahaja sebuah filem aksi, tetapi juga simbol aspirasi dan iltizam dalam mengangkat martabat serta pengorbanan wira bomba negara.

Aksi yang dipaparkan disalurkan dengan latihan intensif oleh JBPM sendiri, memastikan setiap gerakan dan prosedur kelihatan autentik di layar perak, sekaligus memberikan penghormatan kepada kepakaran sebenar anggota bomba.

Legasi: Bomba The Movie dipersembahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (КРКТ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bersama rakan penerbit Multimedia Entertainment, GSC, ASTRO dan Six Fun, dipersembahkan bersama HONOR.

Filem ini turut menerima sokongan padu daripada penaja utama CUCKOO serta penaja bersama Kinohimitsu, disempurnakan lagi dengan sokongan rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Filem ini menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula hari ini, 21 Ogos 2025.

Legasi: Bomba The Movie bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah penghargaan kepada keberanian, pengorbanan, dan semangat kental anggota bomba Malaysia.

Sinopsis:

Diarahkan oleh James Lee dan Frank See, Legasi: Bomba The Moviemengisahkan tentang seorang anggota pasukan elit Special Tactical Operation and Rescue Malaysia (STORM) iaitu Amir (Ben Amir) yang berdepan dengan trauma silam.

Namun dipaksa kembali ke barisan hadapan apabila sebuah menara pencakar langit TEXVIN 118 dilanda kebakaran besar.

Misi menyelamat ini menguji kekuatan fizikal, mental, dan semangat setia kawan mereka, dalam sebuah penceritaan yang menggabungkan realisme operasi penyelamatan dengan sentuhan dramatik yang menyentuh hati.

#makan #Ben Amir #Filipina #Tangan #Culture #shock