Gaya Hidup
Curahan Hati Adam, Aishah Dan Dida Selepas 60 Hari Pemergian Ashraf Sinclair
Pemergian Allahyarham Ashraf Daniel Mohamad Sinclair pada 18 Februari lalu pasti tidak akan terpadam daripada memori setiap ahli keluarga serta rakan-rakan rapat.
Dalam tiga entri berbeza selepas dua bulan permergian Allahyarham, adik lelakinya Adam Youssof Sinclair, adik perempuannya Aishah Jennifer Sinclair dan ibunya khadijah Abdul Rahman atau lebih mesra dipanggil Dida Sinclair, masing-masing mencurahkan isi hati di Instagram masing-masing.
Di Instagram milik Adam, ringkas sahaja apa yang ditulisnya tapi penuh makna yang mendalam.
"Sudah dua bulan abang pergi. Adam ingin ucapkan terima kasih untuk setiap kali abang membantu Adam, dan Adam tahu lebih daripada beberapa kali.
"Hari ini Adam ceburkan diri dalam sesuatu yang baru. Adam rasa abang akan bangga dengan Adam. Sayang abang Ash setiap masa. Al-Fatihah," tulis Adam dalam Bahasa Inggeris.
Aishah sebagai adik perempuan juga tidak lupa meletakkan satu entri di Instagram miliknya.
"Genap dua bulan hari ini (semalam). Tidak satu haripun yang berlalu membuat kami lupa pada Abang. Kata mereka, masa akan mengubati, tetapi lukanya tetap sama.
"Aishah terjumpa voicenote abang dalam Google Drive. Mendengar suara abang mengurangkan sedikit rasa 'kesakitan', tetapi ianya juga mengingatkan Aishah tentang kekosongan di dalam hati yang tak akan dapat dipenuhi sejak kehilangan abang.
"Aishah rindukan abang sangat-sangat. Kalau anda teringatkan abang saya, tolong sedekahkan Al-Fatihah dan doa buatnya. Terima kasih," tulis Aishah dalam Bahasa Inggeris.
Ibu kepada Allahyarham Ashraf yang lebih dikenali sebagai Dida Sinclair turut berkongsi perasaan di Instagram miliknya.
"Assalamualaikum wbt. Al-Fatihah. Sudah dua bulan sejak Almarhum Ashraf meninggalkan Bunga, Noah dan kami semua. Kami tidak pernah berhenti berdoa dan membaca surah Yasin untuk Allahyarham dan buat kami di sini, untuk meneruskan hidup baru tanpa dia di sisi.
"Untuk kami redho yang dia sudah kembali ke Rahmattullah dan untuk kami sentiasa ada buat Bunga dan Noah, melihat dia membesar sebagai anak yang soleh dengan sokongan keluarga Sinclair dan keluarga besar di Jakarta.
"Semoga Allah SWT mengampunkan doa Almarhum dan menjaganya seperti mana Dia menjaga kami di sini. Semoga Bunga dan Noah sentiasa mencintai Ashraf, menghargai tingkah lakunya yang positif dan meneruskan hidup dengan gembira, penuh kesyukuran dan sentiasa memberi yang terbaik.
"La illaha illa anta subha naka inni kuntu minazzorlimiin. Aamiin. Terima kasih semua atas doa, sokongan dan ucapan, dan semoga anda dikurniakan balasan yang baik daripada Allah SWT. Aaminn. Wasallamualaikum wbt. Al-Fatihah," tulis Dida juga dalam Bahasa Inggeris.
Pelakon terkenal Allahyarham Ashraf Daniel Mohmad Sinclair meninggal dunia pada 18 Februari, 2020. Ashraf turut meninggalkan seorang balu, penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari dan seorang anak, Noah Aidan Sinclair yang berusia 10 tahun.
Must-Watch Video