Pembantu rumah kepada pelakon dan produser terkenal, Datuk Ziela Jalil dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, kerana mencuri barangan peribadi milik majikannya berjumlah lebih setengah juta, bulan lalu.

Memetik laporan Bernama, Majistret M Saravanan menjatuhkan hukuman itu ke atas warga tempatan Julianah Omar, 32, selepas dia mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam.

Wanita itu didakwa mencuri barangan peribadi kepunyaan Ziela yang keseluruhan berjumlah RM520,000 di Desa Sri Hartamas, Brickfields, kira-kira 11 pagi, 26 Februari lalu.



Tertuduh dihukum mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh dihukum penjara dengan denda atau sebat.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas Julianah.

Bagaimanapun peguam Muhamad Razman Sahat yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah menyesal dengan perbuatannya.

“Ini kesalahan kali pertama anak guam saya dan dia menjaga ibu bapanya,” katanya.

Sumber: BERNAMA