HIBURAN

D4vd Tak Sangka Lagu ‘Meletup’ Di Malaysia, Rancang Jelajah Dunia Selepas Album Sulung

Umirah Halim 24/05/2025 | 05:55 MYT
Penyanyi dan penulis lagu alt-pop terkenal, d4vd, mengakui tidak menyangka lagu-lagunya seperti Here With Me dan Romantic Homicide mendapat sambutan luar biasa daripada peminat di Malaysia.

Menerusi sesi temu bual eksklusif bersama Gempak, d4vd, atau nama sebenarnya David Burke, berkata lagu-lagu tersebut sebenarnya dicipta dalam suasana yang sangat sederhana iaitu hanya menggunakan telefon di dalam almari pakaian adiknya.

“Oh, tidak, saya tak sangka langsung. Masa saya tulis lagu-lagu tu, saya cuma rakam dalam almari guna telefon. Internet sangat berkuasa, ia boleh bawa muzik kita ke negara-negara lain, seluruh dunia. Saya sangat bersyukur lagu saya boleh sampai sejauh ini. Memang luar biasa,” katanya kepada Gempak.

Penyanyi berusia 20 tahun itu turut berkongsi perancangan seninya selepas pelancaran album sulungnya, WITHERED baru-baru ini.

Menurutnya, dia sedang merancang untuk melancarkan versi deluxe bagi album tersebut, selain bersedia memulakan jelajah berskala besar ke pelbagai negara.

“Saya baru saja lancar album sulung, jadi mungkin lepas ni saya akan keluarkan versi deluxe. Lepas tu, jelajah besar-besaran – Amerika Syarikat, Eropah dan akan kembali ke Asia. Saya nak pergi ke mana-mana saja yang boleh,” jelasnya.

Menariknya, d4vd turut berkongsi bahawa jika dia tidak memilih kerjaya muzik, dia mungkin akan menjadi pengaturcara komputer atau pereka permainan video.

“Kalau saya tak buat muzik, saya mungkin akan ceburi bidang pengaturcaraan. Masa sekolah dulu saya belajar macam mana nak bina komputer dan buat permainan video. Jadi mungkin saya akan jadi pereka grafik atau pereka permainan – apa-apa yang berkaitan dengan komputer,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, d4vd pernah mengadakan showcase sempena pelancaran album di Kuala Lumpur pada 13 Mei lalu.

#Album #Malaysia #Lagu #d4vd