BERITA
"Dada Saya Dibuka Tiga Kali" - Tun M Imbau Detik Cemas Serangan Jantung, Jadi Pencetus Penubuhan IJN
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendedahkan pengalaman getir apabila terpaksa menjalani tiga pembedahan jantung, termasuk satu prosedur besar di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 1989.
"Dada saya telah dibuka sebanyak tiga kali. Ia agak menakutkan apabila dada anda dibuka dan orang 'bermain-main' dengan jantung anda, tetapi Alhamdulillah saya selamat," katanya.
Perkongsian penuh emosi itu disampaikan oleh Dr Mahathir semasa majlis sambutan ulang tahun ke-100 anjuran Institut Jantung Negara (IJN), sebuah institusi yang diasaskan hasil daripada pengalamannya sendiri.

Dr Mahathir berkata pada awalnya beliau tidak pernah menyangka akan mengalami masalah jantung kerana menganggap dirinya sihat dan aktif. Namun segala-galanya berubah selepas satu majlis makan malam pada tahun 1989.
Selepas mendapatkan bantuan perubatan, beliau disahkan mengalami serangan jantung kecil dan dirawat oleh pakar jantung Tan Sri Dr Robaayah Zambahari serta pasukannya di HKL."Saya sangka jika saya baring, ia akan hilang. Saya baring, ia tidak hilang. Saya bangun, ia tidak hilang. Saya berjalan-jalan, saya masih rasa sesuatu yang 'ketat' di dada saya," tambah beliau.
Ketika ditawarkan pilihan untuk menjalani pembedahan jantung sama ada di luar negara atau di Kuala Lumpur, Dr Mahathir memilih untuk melakukannya di tanah air.
"Saya fikir saya patut sekurang-kurangnya menunjukkan sedikit keyakinan kepada doktor-doktor di Malaysia," kata beliau lagi.
Pembedahan yang dilakukan oleh pakar bedah jantung terkenal, Tan Sri Dr Yahya Awang, berjalan lancar walaupun mengambil masa berjam-jam.
Pengalaman tersebut menjadi pencetus kepada penubuhan Institut Jantung Negara (IJN) selepas doktor menyuarakan keperluan untuk fasiliti yang lebih baik di HKL.
"Saya fikir, kenapa tidak? Kita patut ada sebuah pusat jantung. Dan sudah tentu, pada masa itu saya adalah Perdana Menteri, dan Perdana Menteri mempunyai banyak kuasa," ujar beliau.
Beliau meluluskan penubuhan pusat jantung baharu dan seterusnya IJN diwujudkan, yang kini menjadi antara institusi rawatan jantung terkemuka di rantau ini.

Dr Mahathir yang pernah menjalani satu pembedahan di HKL dan dua lagi di IJN, turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kebolehan doktor tempatan.
"Saya yakin bahawa doktor kita sama hebatnya dengan sesiapa sahaja. Kepercayaan saya ialah kita boleh melakukan apa sahaja yang orang lain boleh lakukan," tambah beliau.
Tun M juga mendedahkan beliau telah melalui tiga pembedahan jantung di Malaysia, satu di HKL dan dua lagi di IJN yang menjadi bukti kejayaan sistem kesihatan kardiovaskular negara.
Untuk rekod, beliau mengalami tiga serangan jantung, satu pada tahun 1989 dan dua lagi pada 2006, sebelum menjalani pembedahan pintasan kuadrup pada tahun berikutnya.
Must-Watch Video