Sejak pandemik Covid-19 di negara ini, sememangnya, individu yang menjadi tunjang utama dalam menangani penularan virus tersebut merupakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Bahkan, wajahnya ditatap rakyat Malaysia di kaca televisyen setiap hari dalam memberi laporan terkini berkaitan perkembangan semasa pandemik.

Bagaimanapun, peningkatan kes sejak akhir-akhir ini, nampaknya membuatkan netizen bimbang dengan 'nasib' Noor Hisham yang mungkin terpaksa bekerja sehingga lewat malam.

Lebih-lebih lagi apabila Noor Hisham memuat naik satu status menerusi akaun Twitter dan Facebooknya pada pukul 2.10 pagi tadi tatkala ramai rakyat malaysia ketika itu sedang tidur lena.

Dalam posting tersebut Noor Hisham cuba menjelaskan kepada orang ramai rasional yang dilakukan kerajaan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilakukan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ini adalah cabaran untuk melindungi dan mencapai keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi daripada Covid-19. Apabila tiada keseimbangan bermaksud kehilangan nyawa dan punca mata pencarian hidup.

“Pelaksanaan PKPB membolehkan ekonomi dan rantaian bekalan dapat terus beroperasi tanpa gangguan namun, sekatan perlu dibuat kepada sektor sosial dan pendidikan," katanya.



Hantaran tersebut turut menerima lebih 27,000 tanda suka dan dikongsikan netizen lebih 1,600 kali di Facebook.

Bagaimanapun, di ruangan komen di Twitter, rata-rata netizen risau dengan keadaan kesihatan Noor Hisham yang mungkin terjejas akibat kurang rehat.

Masing-masing meminta agar Nor Hisham turut menjaga kesihatan diri dengan mendapatkan tidur yang cukup.



Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula tengah malam ini bagi tempoh dua minggu sehingga 27 Oktober, manakala Sabah sehingga 26 Oktober.

Semalam, negara mencatatkan 563 kes jangkitan baharu dengan angka kematian keseluruhan sehingga kini berjumlah 159 orang.