Penyanyi Tajul mengakui perselisihan faham antara dia dan Bintang Paling Popular 2018, Wany Hasrita kembali pulih.

Enggan mendedahkan punca sebenar kemelut terbabit, jelas Tajul perkara terbabit sudah diselesaikan dan kedua-dua pihak profesional untuk meneruskan promosi single duet terbaharu, Aku Serius.

"Saya dan Wany dah baik balik dah... Isu yang timbul pun semuanya sudah diselesaikan.

"Perselisihan faham yang terjadi bukan disebabkan cinta atau peribadi tetapi berkaitan kerjaya.

"Sekarang kami kembali sibuk untuk mempromosikan single duet kami, Aku Serius," katanya kepada Gempak.

Kedua-dua penyanyi muda itu dilaporkan sebelum ini berselisih faham dan tidak bertegur sapa dalam tempoh yang panjang.

Lagu Aku Serius merupakan single duet ketiga pasangan itu selepas Di Sana Cinta Di Sini Rindu dan Rindu Dalam Benci.

Aku Serius merupakan lagu ciptaan Aidit Alfian dan lirik oleh Teguh Budiman.

Sejak dilancarkan empat minggu lalu, lirik video Aku Serius telah ditonton hampir 300,000 pengunjung YouTube.