Rakyat menyambut baik usaha kerajaan meringankan beban kos sara hidup akibat impak wabak COVID-19 dengan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan jumlah maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan bermula 1 April ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media khas di Bangunan Perdana Putra pada Isnin berkata, inisiatif itu dijangka akan memberi manfaat kepada 12 juta pencarum KWSP, dengan anggaran pengeluaran RM40 bilion.

Beliau berkata, dengan inisiatif itu, ditambah dengan kadar caruman yang telah dikurangkan sebanyak empat peratus bermula April 2020, ia akan akan membolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barang-barang keperluan harian.

“Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin. Beli barangbarang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini. Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga.

“Mungkin juga wang ini sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing,” katanya seperti yang dilaporkan Astro Awani.

Sementara itu, disamping menyokong usaha kerajaan ada di kalangan warganet mengingatkan supaya orang ramai tidak menyerbu pejabat KWSP untuk urusan tersebut.

Ada juga yang mencadangkan agar pencarum menyemak laman web KWSP terlebih dahulu sebelum ke urusan seterusnya.

Dapatkan aplikas Astro GO di Apple Store dan Google Play untuk mendapatkan berita terkini mengenai COVID-19 dan menonton drama serta filem terbaik di Astro! Tak perlu rebut alat kawalan jauh lagi!