Penerbit dan pengarah, Michael Ang menasihati orang ramai agar tidak berlebihan dalam memberi pandangan mereka mengenai nasib yang menimpa Datuk Seri Najib Tun Razak selepas dijatuhkan hukuman penjara dan denda semalam.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Instagram, Michael menjelaskan Najib sudah menerima hukuman di atas kesalahannya.

Malah, pengarah kepada drama bersiri The Maid 2 itu turut mendoakan kesejahteraan Najib.

“Pada netizen dah-dah la komen dan buat video menghina yang melampau pada Datuk Seri Najib, dia pun dah masuk penjara.

“Bukan nak sokong Najib, tapi hukuman pun dah dijatuhkan, jadi biarkan sahaja dan saya doakan dia baik-baik sahaja.

“Jadi move on sahaja lah, kasihan keluarga Najib bila mereka baca komen-komen yang agak kejam itu,” kongsi Michael.

A post shared by Michael Ang (@michaelang38)

Sementara itu, Michael turut mengingatkan pengikutnya untuk menjaga hal peribadi dan keluarga sendiri daripada 'menyibuk' hal orang lain.

“Paling penting jaga diri sendiri dan keluarga lagi bagus. Jika ada yang menyokong Najib jangan salahkan orang lain dan jika yang suka melihat beliau dipenjarakan jangan pula menjadi batu api dengan kata-kata kesat,” tulisnya pada kapsyen.

Terdahulu, Mahkamah Perseketuan telah menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya perhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Susulan keputusan itu, Najib telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM120 juta.