Penyanyi Kaka Azraff akui suka memasak di rumah bagi memenuhi citarasa suami, Adam Azriff.

Menurut Kaka, Adam seorang yang menggemari masakan tradisional.

"Sebelum ini masa bercinta, saya hanya menelefon Adam untuk mengajak lepak di mamak.

"Tapi sekarang ini dah jadi seorang isteri, kenalah rajin memasak di rumah. Nak pikat perut suami.

"Ini merupakan kali pertama saya memasak untuk berbuka dan bersahur setiap hari.

"Menu utama Adam semasa berbuka adalah masak lemak siput sedut.

"Kalau saya tak sempat memasak, ada juga kami ke bazar Ramadan semata-mata mencari siput sedut," katanya kepada Gempak.

Kaka ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran Warner Music di Hotel Royal Kuala Lumpur.

Tambah Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 30, berasa teruja dengan sambutan raya tahun ini.

"Saya sangat teruja kerana ini merupakan kali pertama beraya bersama suami dan keluarga baru dengan berbadan dua.

"Raya pertama saya akan beraya di rumah keluarga sebelah suami dahulu di Kuala Lumpur," katanya lagi.