Hiburan
Dah Kenal 10 Tahun Tapi Hani Era Akui Belum Cukup Mengenali Suami
Meskipun sudah menjalinkan hubungan cinta selama 10 tahun, namun penyampai radio Era, Hani Fadzil akui belum cukup mengenali suaminya, Wan Faiz Wan Nor, 30, yang baru dikahwininya pada 7 Julai lalu.
Hani atau nama sebenarnya Intan Farhani Mohd Fadzil, 26, berkata mereka sukar untuk bertemu kerana bapanya seorang yang tidak mudah melepaskannya keluar berdua dengan kerap.
"Kami sudah berkenalan sejak dari sekolah lagi iaitu ketika itu saya baru berada di tingkatan empat.
"Saya kenal suami pun daripada adiknya, Siti Nabilah iaitu rakan baik saya sendiri di sekolah.
"Terus-terang walapun sudah lama berkenalan, namun saya akui belum cukup mengenalinya kerana kami jarang dapat mengisi masa bersama.
"Bukan apa, keluarga saya bukanlah jenis yang sewenang-wenang melepaskan anak gadisnya keluar dengan lelaki.
"Jadi Faiz ambil masa untuk biasakan diri, sehinggalah pada satu tahap dia berjumpa secara gentleman dengan keluarga saya, memberitahu bahawa dia serius untuk berkawan.
"Kini bila sudah kahwin saya harap kami dapat mengisi masa dengan banyak untuk lebih mengenali di antara satu sama lain," katanya kepada Astro Gempak.
Majlis akad nikah pasangan itu diadakan di Bora Ombak, Marina Putrajaya pada Jumaat lalu, tepat jam 4.00 petang.
Sementara itu, suaminya Faiz memberitahu Hani adalah wanita yang boleh buat dia selesa kerana isterinya itu seorang yang banyak bercakap.
"Hani seorang yang senang untuk bergaul dan buat saya selesa.
"Saya suka dia banyak bercakap kerana saya seorang yang pendiam.
"Jadi saya rasa kami seimbanglah," katanya.
Pasangan ini merancang untuk berbulan madu ke United Kingdom awal tahun hadapan.
Teks oleh: Syafiqah Jalal