Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed Bakri menegur tindakan seorang personaliti media sosial yang disifatkan keterlaluan dalam menerbitkan kandungan untuk tatapan umum.

Menurut PU Syed, tindakan cuba bergurau dengan melakukan 'prank' kepada isteri sehingga melampaui batas agama semata-mata untuk dipertonton adalah satu tindakan yang tidak wajar.

"Tabiat buruk, prank isteri, rakam dan sebarkan untuk hiburan.

"Walaupun hanya sekadar hiburan dengan membuat prank benda-benda mengarut kepada isteri sendiri, adakah ia bagus?

"Dah kering sangatkah idea korang sehingga sanggup dedahkan aurat isteri kepada khalayak?," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Menurut PU Syed lagi, gurauan sedemikian yang boleh mendatangkan fitnah kepada diri dan agama perlu dielakkan.

"Kot ya nak berlibur, hati-hatilah sebab kita orang Islam ni, ada pantang larang dalam hidup, jangan main sondol sahaja.

"Ingatan terbuka ini bukan untuk Youtuber itu sahaja, tetapi buat kita semua," katanya.

Biarpun tidak menyebut secara jelas individu yang dimaksudkan, teguran tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan satu video oleh seorang Youtuber yang melakukan prank curang terhadap isterinya.

Video prank berdurasi kira-kira 17 minit itu sudah meraih lebih 1 juta tontonan di YouTube.

Dalam video tersebut isteri Youtuber itu dilihat bertindak meninggalkan rumah selepas merasakan tindakan prank oleh suaminya itu keterlaluan yang tidak sepatutnya dijadikan sebagai bahan senda.



Dalam pada itu, jangan lupa untuk sama-sama mengundi artis kesayangan korang yang tercalon dalam Gempak Most Wanted di sini.

Undian akan ditutup pada 28 Disember, jam 6 petang. Jadi tunggu apa lagi? Jom undi!