Berita
Dah Masuk Studio Rakaman, Fad Kongsi Judul Lagu Dedikasi Buat Arwah Abam...
Pelawak Fad Bocey mendedahkan bahawa mereka sudah membuat keputusan untuk memberikan judul lagu khas yang didedikasikan buat arwah Abam sebagai #KITABAIKRAMAISAYANG.
Bahkan, Fad atau nama sebenarnya, Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, 29, berkata, dia dan rakannya yang juga merupakan anggota kumpulan Bocey, Achey sudah memulakan sesi rakaman lagu itu di studio.
"Kami dah mula merakamkan lagu khas buat Allahyarham Abam. Terima kasih atas cadangan anda semua.
"Kami sepakat untuk pilih tajuk lagu ini adalah #KITABAIKRAMAISAYANG. Semoga dipermudahkan," tulisnya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Tambah Fad hasil keuntungan daripada lagu itu nanti akan disalurkan kepada ahli keluarganya dan badan-badan kebajikan.
"Kami dah pasang niat segala untuk lagu ini akan ada bahagian untuk Hamzah, ibu dan keluarga Allahyarham.
"Kami juga akan salurkan kutipan lagu ini ke pusat tahfiz yang pernah dibantu arwah. Mohon doakan yang terbaik ya #kitabaikramaisayang #bocey @acheykintangkintung @ippohafiz," tulisnya.
Sebelum ini, Achey pernah menyatakan hasratnya untuk menghasilkan sebuah lagu khas buat Abam yang sudah pergi meninggalkan mereka.
Susulan hasratnya itu, mereka kemudian turut meminta pandangan orang ramai di Instagram untuk memberikan judul lagu bersesuaian hasil kerjasama dengan komposer Ippo Hafiz.
Kumpulan Bocey yang dianggotai Fad, Achey dan Abam mula menceburi industri hiburan menerusi pembabitan dalam program Bintang Mencari Bintang pada 2012.
Nama mereka semakin dikenali selepas menyertai beberapa musim program Maharaja Lawak Mega.
Bagaimanapun, Abam meninggal dunia secara mengejut pada 10 Februari lalu di kediamannya di Gombak, Selangor.
Arwah meninggalkan seorang balu, Siti Norhidayah Mohd Ali dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang berusia lapan bulan.