Kumpulan pelawak Zero, melancarkan misi bantuan kilat kepada mangsa kebakaran di perkampungan atas air di Kampung Landung Ayang Laut, Kudat.

Usaha tersebut turut disokong rakan-rakan seperti Achey, Didie Alias dan Sharifah Shahirah yang turut membantu menguar-uarkan mesej daripada Atu dan Sharif.

“Berita sedih, semalam kita dikhabarkan Kampung Landung Ayang Laut, Kudat terbakar. Saya harap saudara-saudara saya di sana bersabar dan ada hikmah di sebalik kejadian ini.

“Terima kasih kepada NGO-NGO terlibat yang terus datang membantu…Insyaallah saya dan isteri serta sahabat-sahabat di Semenanjung akan membantu mana yang boleh. Tidak banyak, tetapi dapatlah meringankan beban sahabat-sahabat di sana,” kata Atu.

Sementara itu, Sharif pula mengalu-alukan orang ramai yang ingin membantu mangsa kebakaran besar tersebut menerusi misi #BantuLandungAyang.

“Sekarang ini dah dekat bulan puasa dan raya, mereka sangat-sangat perlukan bantuan kita. Jom sama-sama kita bantu penduduk Landung Ayang,” katanya.

Selain itu, isteru Atu Shafeeqa Johari menerusi sebuah hantaran di Instagram turut meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi kepada sesiapa sahaja yang ingin menghulurkan bantuan.

A post shared by Shafeeqa Johari (@shafeeqa_johari)



Terdahulu, media melaporkan sebanyak 179 buah rumah atas air di Kampung Landung Ayang munah dalam kebakaran besar petang semalam (Rabu).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.26 petang.

Menurutnya, sepasukan 48 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Kota Marudu dan dibantu Persatuan Bomba Sukarela (PBS) dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

"Operasi memadam ditamatkan pada 8.17 malam dan tiada mangsa terkorban dilaporkan.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.