Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Dah Nak Pupus...Berhenti Buat Lemang Guna Kelongsong Periuk Kera!

Fiza Kamarudin
29/05/2019 04:51 MYT
Dua hari lalu, pakar botani disegani Prof Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohammad telah berkongsi mengenai kepupusan Periuk Kera disebabkan ketaksuban manusia.

Sedar atau tidak, ketaksuban orang kita menuai periuk kera sesuka hati hanya kerana mahu berniaga sesuatu yang viral, menyebabkan Periuk Kera semakin terancam?

“Alangkah terkejutnya saya warga negara Johor dengan megahnya telah menubuhkan Kumpulan Pencari Periuk Kera untuk membuat ketupat pulut.

“Beberap tahun dahulu orang Pahang telah mulakan kerja seperti ini sehingga periuk kera spesies Napenthes Ampullaria hampir hilang di hutan Pahang.

“Kini giliran orang Johor pula menyamun Periuk Kera dan dengan megahnya telah mempamerkan periuk kera diragutnya,” tulis beliau menerusi sebuat posting yang telah di ‘screenshot’ dan tular di laman sosial Facebook (FB).

Menurut beliau lagi beberapa spesies Periuk Kera lain turut terancam dek kerana aktiviti menjadikan kelongsong tumbuhan tersebut sebagai lemang.

Beliau turut mencadangkan mewartakan kesemua 13 spesies Periuk Kera di Semenanjung Malaysia dan meletakkannya dalam spesies yang dipelihara dan dipulihara demi menyelamatkan tumbuhan tersebut.

Sementara itu, seorang pengguna FB, Faziatun Nisa Yusof Basha yang berkongsi posting Adbul Latiff turut memberi penjelasan mengapa Periuk Kera perlu diselamatkan.

“Pagi ini saya ternampak satu posting Prof Dr Abdul Latiff Mohamad di screenshot. Sebagai seorang pakar botani paling disegani di Malaysia beliau menyatakan kerisauan tentang aktiviti menuai periuk kera semahunya ini.

“Fungsi pokok periuk kera ini kita nampak macam setakat nak tangkap serangga masuk dalam kantung saja. Di sebalik mekanisma itu, Tuhan ciptakan pokok ini berada di kawasan yang mengandungi nutrien Nitrogen yang rendah. Nitrogen daripada pereputan serangga itu pula fungsinya membekalkan kesuburan kepada tanah.

“Sekadar seruan kecil kepada rakan-rakan di persekitaran saya;

“Lemang periuk kera memang RARE. Tapi apalah ertinya rare jika berupaya mendatangkan kemudaratan pada bumi yang kita kongsi ini.

“Kita masih ada pilihan menikmati lemang beraroma yang dimasak beralaskan daun pisang dan buluh. Pisang dan buluh tumbuh lebih pantas berbanding periuk kera yang sukar nak dibiakkan ini.

“I just make a calling, the choice is individual. But we can save our nature together,” tulisnya yang telah mendapat lebih 9 ribu perkongsian dan hampir 500 komen oleh warga net.

Selain itu seorang peguam yang juga ahli NGO alam sekitar Jehan Bakar, berkata perkara ini perlu dikongsikan kepada orang lain untuk memberi kesedaran kepada semua.

Beliau turut memohon agar semua orang tidak membeli atau makan lemang yang dibalut dengan periuk kera.

“Lakukannya demi bumi dan alam sekitar kita. Ia perlu dimulakan sekarang supaya orang ramai lebih sedar tentang perkara penting ini,” katanya.


#Alam Sekitar #Lemang Periuk Kera #Periuk Kera