HIBURAN
"Dah Setahun Lebih Tak Dapat Jumpa Anak..." - Hafidz Roshdi Terkilan, Bekas Isteri Didakwa Putuskan Hubungan Dengan Anak
Pelakon Hafidz Roshdi menzahirkan rasa kecewa selepas lebih setahun tidak dapat berhubung atau bertemu dengan dua cahaya matanya, Umar dan Humairah.
Memetik laporan Harian Metro, kata Hafidz, sejak bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, membawa anak-anak mereka ke luar negara, semua bentuk komunikasi telah terputus.
Malah, segala usaha untuk menghubungi anak-anaknya juga tidak pernah berhasil.
“Saya dah sediakan telefon khas untuk kami berhubung, tapi langsung tak berbalas. Sudah setahun lebih saya tak tahu apa-apa tentang mereka. Telefon yang saya beri pun langsung tak dijawab,” katanya kepada Harian Metro.
Selain itu, Hafidz turut berkongsi bahawa kali terakhir dia cuba untuk mengatur pertemuan adalah sebelum Aidilfitri tahun lalu.
Namun, segalanya tidak menjadi kenyataan.
“Masa itu dah rancang nak jumpa dan beli baju raya sama-sama. Tapi akhirnya, dia bagi banyak alasan dan kami tak jadi berjumpa. Lepas tu, nombor saya terus disekat.”
Berkongsi mengenai perasaannya, Hafidz menjelaskan bahawa rasa kecewa itu sudah bertukar menjadi kemarahan kerana merasakan haknya sebagai seorang bapa telah dinafikan.
“Saya bukan sekadar kecewa, saya marah. Sekurang-kurangnya beritahu saya anak-anak macam mana, sihat ke tidak, sekolah kat mana. Saya ada hak untuk tahu dan berjumpa dengan mereka, walaupun keadaan saya macam mana sekalipun.”
“Maaf, saya tak tengok langsung media sosial pihak sana. Gambar anak pun saya tak tahu. Saya nak maklumat terus dari dia, bukan dari media sosial,” ujarnya.
Terdahulu, mahkamah telah memberikan hak lawatan sementara kepada Hafidz semasa cuti persekolahan hujung Mei ini, sementara menunggu keputusan induk hadanah yang dijadualkan didengar pada 29 Julai nanti.
Sumber: Harian Metro