"Satu trofi sebenar untuk juara dan satu lagi replika yang digunakan untuk iklan Gegar Vaganza 2019!" itu penjelasan Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad berhubung dakwaan kemenangan juara rancangan itu telah dirancang awal.

BACA: Tahniah Naqiu Boboy & Hady Mirza Juara Bersama GV2019!

Raqim tampil mengulas dakwaan netizen bahawa produksi telah bersedia dengan dua buah trofi untuk menghadiahkan kedua-dua juara GV2019 iaitu Hady Mirza dan Naqiu (Boboy) selepas diumumkan malam tadi.

"Malah, nilai hadiah untuk kedua-dua juara GV2019 akan ditambah oleh pihak kami menjadi RM100,000 setiap seorang, jadi nilainya akan adil.

"Kalau diperhatikan juga, replika cek hanya ada satu sahaja untuk juara, jadi mana mungkin hadiah ini telah dirancang awal. Keputusan dibuat selepas semua peserta selesai membuat persembahan.

"Jujur kami pun terkejut dengan keputusan juri profesional tetapi selepas diterangkan dengan mendalam kami bersetuju sebulat suara," tambahnya.

Juara GV2019 memenangi hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian ke Eropah Timur dan Timur Tengah, pakej ubah suai ruang tamu dan ruang dapur, penginapan di Hotel Tenera Bangi serta trofi.

Keputusan untuk menobatkan dua juara pada musim kali ini ditetapkan oleh tiga juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Rizalman Ibrahim.

Mengulas mengenai komen negatif yang ditulis netizen yang rata-rata tidak berpuas hati dengan keputusan dua juara GV2019, kata Raqim keputusan sudah muktamad.

"Banyak perkara yang tidak dijangka berlaku sepanjang GV2019 dan orang akan tetap berkata-kata walaupun sudah ada keputusan. Tapi ada juga komen-komen positif.

"Hakikatnya ia telah dijurikan dengan adil dan berdasarkan pengalaman juri-juri profesional, saya yakin mereka sudah memilih yang terbaik!

"Jadi, kita hormati keputusan malam ini," kata Raqim.

GV pernah menobatkan Ayai Ilusi, Siti Nordiana, Azharina, Aishah dan Noryn Aziz sebagai juara musim terdahulu.

GV2019 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.