Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Dah Tahu Kes Tengah Banyak Pergi Jugak!” - Nizam Laksamana Dikuarantin Selepas Pulang Dari Sabah

Fiza Kamarudin
30/09/2020 01:03 MYT
Penyanyi Nizam Laksamana menjawab tohmahan netizen terhadapnya yang terpaksa menjalani kuarantin selama dua minggu di rumah selepas pulang dari Sabah, Ahad lalu.

Nizam berkata dia ke Sabah pada 23 September lepas atas urusan kerja dan sentiasa menjaga SOP sepanjang berada di sana.

Menyedari tindakannya ke Sabah yang sedang mengalami penularan pandemik COVID-19 menjadi pertikaian warganet, Nizam tampil memberi penjelasan.

“Atas meja saya perlu pastikan ada makanan kerana tidak mahu meminta-minta. InshaAllah Allah tahu niat saya.

“Saya ke Sabah atas urusan kerja hakiki. Saya dengar ada kes di sana namun belum lagi PKPDB (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar). Sepanjang berada di sana saya cukup jaga SOP.

“Sentiasa memakai mask, cek suhu badan, sentiasa sanitise tangan, mandi yang kerap dan saya jaga penjarakan sosial.

"Setiap kali selesai nyanyi saya terus balik ke hotel dan terus mandi. Ke mana-mana pun saya akan ambil bacaan suhu badan. Bacaan suhu saya juga tidak pernah melebihi 36.7,” katanya.

Namun dua hari sebelum pulang ke Kuala Lumpur, Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan untuk individu yang pulang dari Sabah selepas 26 September wajib menjalani saringan Covid-19 dan kuarantin.

“Selepas enam jam tiba di KLIA2 barulah semua penumpang dari sana dipanggil untuk saringan Covid-19. Kami diberi penerangan proses Kuarantin di rumah dan kami diberi pakai gelang pink untuk tempoh 14 hari.

“Itu bermakna kami tidak boleh keluar rumah selama tempoh itu. Jika keputusan saringan pertama negatif maka kena buat lagi saringan kedua di klinik berhampiran. Kiranya keputusan negatif untuk saringan kedua itu barulah sah negatif Covid-19.

“Bagaimanapun sekiranya keputusan positif maka bersedialah untuk ambulan datang ke rumah dan akan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Tambah Nizam lagi dia bersyukur kerana isteri memahami keadaannya dan sudah menyediakan bilik berasingan sepanjang proses kuarantin.

“Sampai rumah, isteri sudah sediakan bilik untuk saya. Kerana pihak KKM kata saya mesti jaga tiada sebarang sentuhan selama kuarantin di rumah dan saya mesti pakai mask.

“Saya telah laksanakan kewajipan saya untuk menjaga orang-orang tersayang dan kawan-kawan kerana rasa tanggungjawab. Saya berdoa agar semua keputusan yang bakal saya terima nanti negatif.

“Namun jika sebaliknya, saya redha untuk dibawa ke hospital dan mendapatkan rawatan lanjut. Setakat dari tarikh 23 hingga ke tarikh 28 September ini, Alhamdulillah saya sihat. Besar harapan kesihatan saya ini berterusan,” katanya.
#COVID 19 #Kuarantin #Nizam Laksamana
;