“Dah Tua, Tak Perlu Emosi…” - Isu Perbalahan Keluarga Suami, Nora Ariffin Pilih Untuk Bersikap Lebih Matang
Meskipun berdepan dengan pelbagai kontroversi melibatkan hal keluarga suaminya, penyanyi Datuk Nora Ariffin kini memilih untuk menghadapi situasi tersebut dengan cara yang matang.
Suami beri nasihat
Nora, atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, mengambil pendekatan tersebut hasil daripada nasihat suami iaitu Dr Rushdi Ramli.
“Suami pesan, tak perlu ambil kira sangat. Kita perlu bertindak lebih matang, dah tua kan, buat dengan cara yang sepatutnya melalui undang-undang.
“Bukan dengan emosi dan saling membalas, katanya ketika ditemui Gempak selepas selesai menjayakan Konsert Hanya Satu - Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey, yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor pada malam Rabu.
“Saya sebenarnya dah lama reda apa semua yang berlaku. Saya sudah bersedia berdamai dengan takdir. Dalam hidup kita ni ada benda yang kita boleh kawal dan ada benda yang tak boleh.
“Kalau kita jaga baik macam mana pun, kalau Allah nak bagi ujian kena juga,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Nora Ariffin, Anak-Anak Jumpa Pakar Psikiatri - "Kadang-Kadang Kita Tak Tahu..."
Akui terganggu dengan pelbagai ujian yang melanda, pelantun lagu Di Persimpangan Dilema bagaimanapun bersyukur kerana telah dikurniakan dengan kehadiran individu yang sentiasa menyokong dirinya ketika susah dan senang.
“Sebanyak memang saya terganggu, saya rasa mungkin saya dikelilingi dengan orang yang baik jadi mereka suruh saya abaikan sahaja.
“Asalkan saya tahu saya buat perkara yang betul, lantaklah kau nak cakap apa pun.
“Alhamdulillah saya bersyukur,suka duka bersyukur, kalau dilanda ujian pun saya bersyukur. Kita akan temui kebahagiaan di akhirat nanti. Dunia ini tempat kita diuji,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Nora mendakwa dirinya digelar ‘sundal’ oleh ahli keluarga suaminya.
Bagaimanapun, anak tirinya bernama Aya tampil mempersoalkan tindakan Nora dan menegaskan mempunyai segala bukti berkaitan tuduhan dilemparkan penyanyi itu terhadap keluarganya.
Sebelum ini, pada Ogos lalu Nora mendedahkan dia dan suami telah bercerai dalam sebuah video.
Namun kembali rujuk pada September.