GAYA HIDUP
Dahulu Pusat Perdagangan Yang Sibuk, Kini Kampung Bersejarah Di Perak Ini Hanya Didiami 10 Penduduk
Pada abad ke-19, Kampung Bandar, sebuah perkampungan yang terletak di tebing Sungai Perak, pernah menjadi laluan perdagangan yang penting.
Namun, dengan berlalunya masa, kampung yang dahulunya sibuk itu kini hanya didiami oleh 10 orang penduduk.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Azman Basir, terdapat empat wanita dan enam lelaki berumur antara 30 hingga 80 tahun yang tinggal di enam buah rumah kayu di kampung tersebut.
Kata Azman, masalah penurunan jumlah penduduk di kampung itu berlaku kerana Kampung Bandar sering dilanda banjir semasa musim tengkujuh.
Walaupun rumah-rumah kayu di Kampung Bandar dibina tinggi dari tanah, banjir besar pada tahun 1964 dan 2014 menyebabkan paras air naik setinggi lima kaki, memaksa ramai penduduk berpindah keluar.
Namun begitu, menurut Azman, sebahagian daripada mereka masih kembali ke kampung kerana bekerja di ladang kelapa sawit dan sebagai nelayan darat.
Terdapat rancangan untuk menjadikan kampung ini sebagai tarikan pelancong.
Memandangkan Kampung Bandar mempunyai sejarah yang kaya, para penduduk sedang berusaha menarik pelawat ke kampung tersebut.
Masih terdapat beberapa bangunan bersejarah yang masih berdiri, antaranya ialah Masjid Al-Madinah yang dibina pada tahun 1890.
Kawasan ini dahulunya merupakan pusat pemerintahan negeri, dan juga merupakan lokasi makam Sultan Perak ke-15, Sultan Iskandar Dzuklarnain, dan Sultan ke-21, Sultan Shahabuddin Riayat Shah.
Kedua-dua makam tersebut terletak di Pulau Indera Sakti dan Kampung Tanjung Penangguh, masing-masing dalam mukim kampung itu.
Selain itu, Kampung Bandar juga menempatkan makam Mufti Perak yang pertama, Muhammad Zain Muhammad Amin.
Walaupun banyak bangunan abad ke-19 di kampung tersebut telah dipindahkan ke Bukit Chawi (sekitar tujuh kilometer dari situ), masih terdapat satu bangunan kerajaan yang kini telah dijadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar.
Pada masa ini, sekolah tersebut mempunyai tujuh orang guru dan 10 orang murid yang kebanyakannya tinggal di Bukit Chawi.
Sumber - Rojak Daily