"Dahulu, Saya Berlakon Untuk Sara Hidup Dan Pendidikan Anak, Tapi Sekarang..." - Maria Farida

Asraf Aided
Oktober 30, 2018 06:03 MYT
Aktres jelita, Datin Maria Farida telah memuat naik sekeping foto 'throwback' yang diambil sekitar tahun 1990.
Perkongsian itu dibuat menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya.
Di ruangan kapsyen, Maria menceritakan sedikit pengalaman dan perjalanan kerjayanya sejak mula memasuki industri filem tempatan.
Menurutnya, dia amat mencintai dunia lakonan dan ia telah sebati dengan dirinya.
"Ini gambar pada tahun 1990, ketika saya mula-mula memasuki industri filem tanah air, sebelum itu saya bekerja sebagai seorang model.
"Banyak perkara yang telah saya pelajari dan saya telah berjumpa ramai orang ketika menjalani penggambaran di merata tempat.
"Dahulu, saya berlakon untuk menyara kehidupan serta membiayai pendidikan anak saya, tapi sekarang ia telah menjadi satu minat yang mendalam, saya sangat mencintai dunia lakonan," tulisnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut Maria memuji kejelitaan yang dimiliki sejak zaman mudanya, tidak ketinggalan beberapa rakan artis seperti Datin Seri Tiara Jacquelina dan Ainul Aishah.
Setelah beberapa tahun bergelar ibu tunggal, Maria telah mendirikan rumah tangga bersama seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Datuk Rahman pada tahun 2015.
#Maria Farida