Laman Utama
Dai Syed Beri Bantuan Kepada Golongan Terjejas, Netizen Pandang Sudut Positif - “Hang Pernah Jatuh Tapi Hang Pilih Untuk Bangkit”
Pendakwah bebas Dai Syed tampil memberikan bantuan kepada golongan yang terjejas pendapatan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (total lockdown).
Menerusi laman sosial Instagram, Dai Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 26, berkongsi sebuah video bantuan yang disalurkan untuk tatapan umum.
“Semoga senyuman terukir. Tidak kira bangsa atau agama, kita adalah manusia.
“Aku pernah begini, walau dirimu sudah tinggi di langit, jangan lupa kakimu masih lagi berada di bumi,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Menerusi perkongsian video berdurasi 51 saat itu, Syed menghantar pelbagai jenis bantuan makanan keperluan harian berupa beras dan telur yang diagihkan kepada beberapa kediaman rumah pangsa di sekitar Lembah Klang.
Bukan itu sahaja, bantuan juga turut diberikan kepada pelajar-pelajar universiti yang terkandas di kampus sepanjang tempoh total lockadown dilaksanakan.
Sementara itu di ruangan komen, ramai wargamaya memuji penghantaran bantuan yang disalurkan oleh penyanyi ini dan berharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terjejas.
“Tabik kat hang. Walaupun hang pernah jatuh tapi hang pilih untuk bangkit. Teruskan sebar kebaikan untuk ummah. Let the past make you strong. May Allah ease everything,” komen seorang wargamaya.
“Alhamdulillah semoga DS sekeluarga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan,” kata seorang wargamaya.
“Semoga apa yang Syed lakukan berbalik kebaikan kepada anda sekeluarga. Semoga dipermudahkan urusan untuk next misi, amen,” doa seorang wargamaya.
“Dalam apa perkara pun, cubalah pandang sisi baiknya,” pesan seorang wargamaya.
“Dia tebus kesilapan dan kesalahan yang lalu dengan berbuat kebaikan. Kita manusia di dunia ni tiada yang perfect. Doakan yang baik-baik,” tulis seorang wargamaya lagi.
Sehingga kini, video tersebut telah menerima hampir 20,000 tanda suka daripada pengikutnya.