Pendakwah bebas, Da'i Syed selamat bernikah dengan pengacara TV, Hana Ismail dengan sekali lafaz di Masjid Ibnu Mas'ud Kuala Lumpur pada jam 11.46 pagi Sabtu.

Da'i Syed, 27, dan Hana dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Ismail Dahwan.

Hana, 36, yang mengalirkan air mata sebaik sahaja diijabkabulkan itu menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas daripada Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful.

Sementara jumlah wang hantaran dirahsiakan serta tiada sebarang pertukaran dulang hantaran kerana kedua-dua belah pihak sudah bersetuju dalam perbincangan pertunangan sebelum ini.

Majlis akad nikah yang dimulakan dengan acara Maulid itu dihadiri kira-kira lebih 100 orang tetamu.

Tetamu terdiri daripada ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak serta sahabat handai serta rakan artis Datin Umie Aida, Irma Hasmie, Sharifah Haslinda dan ramai lagi.

Mempelai ini bakal diraikan dalam satu majlis resepsi yang akan diadakan di Magika Hall, Monterez Club Shah Alam malam ini.

Pasangan itu melangsungkan majlis pertunangan secara tertutup pada 23 Oktober lalu di kediaman keluarga Hana di Johor Bahru, Johor.