Penyanyi Daiyan Trisha meluahkan rasa kecewa selepas meminta peminat menggunakan kreativiti untuk menyunting sekeping gambar yang berkemungkinan menjadi poster untuk lagunya, On My Way.

Menurut Daiyan, tujuan sebenar dia membuat permintaan itu adalah untuk berinteraksi bersama peminat, namun ia telah disalah erti oleh segelintir pihak.

Pada mulanya, Daiyan memuat naik foto dirinya berdiri di sebelah pintu dan meminta para pengikut di Twitter untuk menjadikan foto itu kelihatan seperti poster filem Parasite.

"Boleh tak korang jadikan gambar ni ala-ala poster Parasite, tetapi dengan tajuk lagu On My Way," tulisnya.

Namun tindakan itu ternyata mengundang rasa kurang senang segelintir pihak yang menganggap Dyan tidak menghormati hasil kerja seorang pereka grafik.

Malah, gambar Dyan itu juga telah disunting dengan kata-kata yang menentang perbuatannya.

"Sila dapatkan seorang pereka yang bagus, sudah semestinya awak mampu," tulis seorang individu.



Tidak berdiam diri, Daiyan tampil memuat naik sebuah poster yang siap disunting oleh pereka grafik profesional dan menegaskan, permintaan dia sebelum ini hanyalah untuk berinteraksi bersama para peminat.

Daiyan juga memberitahu hasil kerja tersebut adalah berbayar.
Kredit Foto (Main Image) : Instagram Daiyan Trisha