Pelakon Daiyan Trisha dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama Anugerah Stail EH! 2022.

Kemenangan Daiyan itu menyaksikan pelakon Projek Anchor SPM itu sekaligus sebagai pemenang yang memperoleh undian tertinggi secara keseluruhan.

Kata Daiyan, 28, dia sama sekali tidak menyangka bahawa kemenangan bakal menjadi miliknya dan bersyukur atas kemenangan tersebut.

“Sejujurnya saya sama sekali tidak menyangka akan menang kategori utama, kerana tujuan asal saya datang untuk memeriahkan majlis dan menyokong rakan-rakan selebriti yang lain.

“Namun apabila sudah menerima kemenangan ini saya anggap sebagai satu rezeki buat saya.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak penganjur sebab memberi peluang kepada saya dan artis lain sebuah platform untuk kami menjadi diri kami dan berkarya dalam fesyen yang kami suka,” kongsinya.

Selain itu, Daiyan turut membawa pulang satu lagi trofi kemenangan dalam kategori Selebriti Wanita Paling Bergaya EH! 2022.

Anugerah Stail EH! 2022 telah berlangsung dengan meriahnya di DADI Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, semalam yang menobatkan pelaku kreatif yang terlibat dalam bidang belakang tabir industri tempatan terdiri daripada pereka fesyen, jurusolek, penata gaya dan selebriti stailo.

Sementara itu, Daiyan meluahkan rasa terharu apabila gayanya berfesyen disukai peminat.

“Untuk peribadi, saya hanya menjadi diri saya sendiri apatah lagi dalam mengayakan sesatu pakaian itu, saya tidak suka meniru gaya atau ingin menjadi orang lain dan saya amat bersyukur apabila ada yang memuji fesyen saya.

“Dengan anugerah yang diterima malam ini, saya akan menjadi lebih berfesyen selepas ini dan lagipun saya memang suka fesyen,” tambah Daiyan.

Anugerah Stail EH! 2022 yang dihoskan oleh Isha Norsham dan Daniel Cheang turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Hael Husaini, Kaka Azraff dan kumpulan DeFam.

Anugerah Stail EH! 2022 turut disensasikan oleh Gempak selaku rakan media rasmi.