Wanita yang mendakwa Cristiano Ronaldo merogolnya, menuntut ganti rugi 56 juta pound (RM319 juta).

Dokumen mahkamah yang baru dikeluarkan menunjukkan jumlah dituntut bekas model, Kathryn Mayorga daripada bintang Portugal dan Juventus itu.

Mayorga mendakwa Ronaldo merogolnya dalam bilik hotel di Las Vegas selepas mereka bertemu pada tahun 2009, ketika itu Mayorga berusia 25 tahun.

Ronaldo menafikan pertuduhan ke atasnya.

Pada tahun 2010, Mayorga bersetuju menerima 270,000 pound (RM1.54 juta) sebagai penyelesaian di luar mahkamah.

Tetapi tiga tahun lalu, Mayorga memfailkan saman sivil di Las Vegas mengatakan "mentalnya terganggu" ketika dia bersetuju dengan penyelesaian itu.


Ronaldo sebelum ini berkata: "Saya menafikan tuduhan-tuduhan ke atas saya.

"Bagi membersihkan nama saya, saya tidak akan melayan sesuatu yang direka oleh orang yang mahu mencari populariti dengan menjadikan saya sebagai mangsa."

Pada malam kejadian itu, Ronaldo, berusia 24 tahun ketika itu, bercuti di Vegas bersama sepupu dan abang iparnya.

Mayorga, yang bekerja di kelab malam di dalam Palms Casino Resort, berkata dia bertemu Ronaldo di ruang VIP.

Ronaldo kemudian mengajaknya dan seorang kawan ke biliknya di resort berkenaan - "bagi menikmati pemandangan Las Vegas Strip", kata Mayorga.

Mayorga membuat laporan polis keesokan harinya mendakwa dia dirogol tetapi enggan menamakan Ronaldo.
Dia kemudian memutuskan untuk tidak meneruskan dakwaan dan menandatangani persetujuan pada Januari 2010.

Namun pada September 2018, Mayorga melanggar perjanjian dengan bersetuju untuk ditemuramah, menyebabkan polis Las Vegas membuka kembali kes berkenaan.

Ronaldo sekali lagi menafikan dakwaan itu dan melabelkannya berita palsu, sambil mengatakan apa yang berlaku pada malam itu adalah atas persetujuan bersama. - AGENSI