Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dakwa Jumlah Sokongan Melebihi Majoriti Bentuk Kerajaan Baru, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob PM Ke-9?

Hanafis Haris
18/08/2021 01:30 MYT
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menjadi nama yang disebut-sebut menjadi Perdana Menteri apabila dikatakan menjadi calon tunggal.

Perkara itu disahkan oleh dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) apabila parti itu dikatakan bersetuju menyokong Ismail Sabri sebagai calon tunggal Perdana Menteri.

Menerusi laporan Berita Harian, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, nama Ismail Sabri dipersetujui oleh semua 42 Ahli Parlimen BN untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 4 petang esok.

Malah, Ismail Sabri didakwa sudah mendapat jumlah sokongan melebihi majoriti 111 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu.

Dalam pada itu, mesyuarat di antara Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam semalam juga secara bersama bersetuju dengan seorang calon Perdana Menteri daripada UMNO, untuk diserahkan kepada Istana Negara, esok.

Perkara itu disahkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebaik selesai mesyuarat berkenaan.

"Kita bersetuju secara sebulat suara untuk mengemuka hanya satu calon.

"Yang penting calon daripada UMNO ini adalah individu yang bersih.

“Tiada kes (mahkamah) yang boleh menghilangkan kepercayaan rakyat kepada calon BN ini," katanya.

Untuk rekod, semalam beberapa pemimpin parti politik menghadap Yang di-Pertuan Agong, dipercayai berkaitan perbincangan berhubung siapa bakal dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Perbincangan itu susulan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta, kelmarin.

Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.





#Perdana Menteri #UMNO #PM #Ismail Sabri Yaakob #Muhyiddin #BN
;