Selebriti media sosial akhirnya tampil membuat permohonan maaf selepas didakwa tidak berpuas hati dengan cara kerja dua jururawat di sebuah hospital.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila jururawat tersebut membuat ujian swab Covid-19.

Sewaktu mengambil sampel di bahagian hidung, pemuda tersebut dikatakan tidak selesa dengan cara berkenaan.

Menurutnya, jururawat berkenaan mengambil sampel secara kasar dan menekan hidungnya terlalu kuat.

Susulan tersebut, berlakunya sedikit pertengkaran antara mereka dan video rakaman yang memaparkan kejadian tersebut terus dimuat naik di akaun Instagram Instafamous itu.

Video berkenaan kemudian viral, sekali gus mengundang kecaman netizen yang rata-ratanya menganggap pemuda itu menghina kerja dan tugas ‘frontliner’.

Enggan merumitkan keadaan, Instafamous tersebut tampil memohon maaf menerusi satu posting di Instagramnya, semalam.

“Kami telah berjumpa tanpa sebarang kehadiran pihak ketiga.

“Saya secara ikhlasnya meminta maaf kepada dua jururawat kerana tidak menghormati mereka.

“Saya patut faham apabila mereka bekerja dalam keadaan yang tertekan.

“Saya mhon maaf kepada mereka dan setiap frontliner yang telah berkorban masa, tenaga dan keselamatan diri untuk melindungan orang ramai.

“Saya minta maaf kerana telah kurang ajar. Saya dah sedar dan cuba untuk jadi yang lebih baik,” katanya.

Menerusi ruang komen, rata-ratanya memuji keberanian pemuda tersebut untuk sekali lagi berjumpa dengan petugas hospital tersebut, sekali membuat permohonan maaf.