Berita
Dakwaan 17 Juta Data MyKad Bocor Tidak Benar - KDN
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak wujud insiden kebocoran data sebanyak 17 juta yang sebagaimana didakwa seorang pengguna laman X dikenali sebagai Fusion Intelligence Center @ StealthMole.
Kerajaan Nafi
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan telah dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bahagian keselamatan teknologi maklumat mendapati dakwaan tersebut tidak benar.
"Dakwaan itu timbul daripada seorang pengguna media sosial, dia pamerkan beberapa MyKad yang dia kata 17 juta, tapi pamer beberapa keping.
"Saya segera semak, pertama dengan JPN bahagian berkenaan yang kedua, dengan bahagian keselamatan teknologi maklumat, kedua-duanya mengesahkan tiada insiden itu," katanya ketika sidang akhbar di Jitra pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan data kad pengenalan atau MyKad seramai 17 juta rakyat Malaysia yang didakwa bocor dan dijual di laman web gelap.
Pengguna laman X, Fusion Intelligence Center @ StealthMole mendakwa, sampel MyKad Malaysia telah dikongsi secara terbuka di laman web gelap berkenaan.
Terdahulu, Saifuddin Nasution tiba di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi, dekat sini bagi meninjau keadaan mangsa banjir.
Jelas Saifuddin, kerajaan memberi jaminan berkenaan integriti data terutamanya melibatkan maklumat penduduk di negara ini.
"Kita minta rakyat agar berhati-hati apabila menerima maklumat seperti ini.
"Mudah sekali sebar apabila tunjuk beberapa keping MyKad lepas tu kata 17 juta, lebih baik tidak disebarkan berita ini," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian