Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dakwaan Fitnah Golongan B40 & M40, Vivy Yusof Saman Netizen

Azwa Rahman
25/09/2020 11:18 MYT
Usahawan fesyen Datin Vivy Yusof memfailkan saman terhadap seorang netizen atas dakwaan memfitnah pengasas FashionValet and dUCK Group itu, menerusi laman sosial berhubung isu kerajaan membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas akibat COVID-19.

Memetik laporan BH Online, saman fitnah itu difailkan Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 33, menerusi Tetuan Foong Cheng Leong & Co pada 15 Jun lepas dengan menamakan Alia Najwa Hassannudin, 28, selaku defendan tunggal.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datin Rohani Ismail dan hasil semakan mahkamah, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 7 Oktober ini.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang dilihat melalui carian dalam e-filing, Vivy selaku plaintif, berkata pada 28 Mac lalu, beliau telah menerbitkan rakaman video dalam akaun Instagramnya berhubung perbualan empat usahawan berkaitan status ekonomi akibat COVID-19 dan Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Vivy mendakwa pada 30 Mac lalu, defendan menerbitkan beberapa penyataan berkenaan plaintif dalam akaun Facebook dan Instagram milik defendan dan secara salah menyatakan bahawa plaintif mempersoalkan tindakan kerajaan membantu golongan B40 dan M40, sedangkan mereka tidak memberi apa-apa sumbangan kepada ekonomi negara.

Usahawan wanita itu mendakwa penyataan-penyataan fitnah itu, antara lainnya membawa maksud bahawa plaintif tidak bersimpati terhadap golongan B40 dan M40, bersikap angkuh, mementingkan diri sendiri dan tidak profesional serta hanya mementingkan keuntungan.

Kata Vivy, penerbitan penyataan-penyataan fitnah itu turut menyebabkan pelancaran satu petisyen di laman web sekitar 1 April lepas bagi mendesak plaintif dilucutkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM kerana menghina golongan berkenaan dan petisyen tersebut telah ditandatangani lebih 230,000 pengguna Internet sejak dilancarkan.

Ikon fesyen itu mendakwa pada 2 April lepas, surat tuntutan telah dikeluarkan kepada defendan dan menuntut supaya beliau berhenti menerbitkan sebarang penyataan fitnah terhadap plaintif di laman sosial dan plaintif juga mendakwa defendan membalas surat tuntutan melalui aplikasi Facebook tetapi gagal mematuhi kesemua kehendak plaintif.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, suatu perintah supaya defendan memadamkan penerbitan penyataan-penyataan fitnah tersebut selain memohon defendan menerbitkan suatu permohonan maaf terhadap plaintif.

Sumber: BH Online

#saman #Netizen #Vivy Yusof
;