HIBURAN
Dakwaan Nampak Kekok Dengan Bella Astillah, Sophia Albarakbah Tak Anggap Kena Sindir - “Saya Okay Sahaja, Waktu Tu Fikir…”
Pelakon, Sophia Albarakbah tidak kecil hati dengan dakwaan segelintir netizen yang menganggap suasana di antara dirinya dan penyanyi Bella Astillah ketika di atas pentas sebuah majlis anugerah kelihatan janggal dan dingin.
Menurut Sophia, 32, dia tidak melihat sebarang kejanggalan dalam situasi itu dan lebih memberikan fokus terhadap penghargaan yang diterimanya sebagai Selebriti Feminin Terhangat malam tersebut.
“Okay sahaja, sebab saya dalam industri yang sama.
“Bagi saya, saya masih dalam proses memahami kenapa saya yang menang… masih terkejut sebenarnya.
“Saya tak rasa kena sindir pun. Mungkin itu cara dia (Bella) sampaikan anugerah, dan saya bersyukur sangat dapat penghargaan ini,” katanya.
Sophia berkongsi perkara itu ketika ditemui dalam sesi sidang media dalam majlis anugerah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Ahad.
Dalam pada itu, kelibat Bella menjadi perhatian apabila dia dilihat mengelak daripada ditemubual media.
Bella terus bergegas meninggalkan lokasi sebaik sahaja selesai acara, sekaligus menguatkan lagi spekulasi netizen mengenai ‘ketegangan’ yang kononnya tercetus antara kedua-dua selebriti tersebut.
Terdahulu, Bella menyampaikan trofi kepada Sophia mencuri perhatian ramai apabila gelagat kedua-dua selebriti itu dilihat penuh kekok dan janggal.
Bella dilihat kurang selesa ketika mengumumkan Sophia adalah pemenang bagi kategori Selebriti Feminin Terhangat
Sebelum ini, nama Sophia meledak selepas Bella mendakwa dia menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya dengan Aliff sekitar Januari 2023.
Bella turut memuat naik tangkap layar memaparkan aktres itu memohon maaf dan ingin memperbetulkan keadaan berkaitan dakwaan mengganggu rumah tangga pasangan itu.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 2016 dan disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ayden Adrian dan Ara Adreanna.
Must-Watch Video