Selebriti dan usahawan Noor Neelofa Mohd Noor memohon doa daripada orang ramai agar mendoakan kesihatan dan kesejahteraan dirinya.

Menjawab dakwaan sedang hamil empat bulan, Neelofa bagaimanapun tidak mengiyakan atau menafikan, sebaliknya memberitahu akan menguar-uarkan kepada umum apabila tiba masa yang sesuai.

"Insya-Allah saya akan beritahu apabila tiba masa yang sesuai. Sesiapapun yang sudah melalui fasa perkahwinan dan seterusnya akan sentiasa berasa teruja untuk berkongsi berita gembira sekiranya ada.

"Apapun doa daripada semua adalah yang terbaik, kerana doa-doa itulah yang akan melindungi daripada apa-apa perkara tidak diingini," katanya.

Spekulasi isteri kepada pendakwah Haris Ismail itu sedang berbadan dua bermula apabila Neelofa dilihat kerap mengusap perutnya dalam sesi siaran langsung bagi mempromosikan produk terbaharu daripada jenama tudungnya, Naelofar, pada Julai lalu.

Neelofa ditemui pada Majlis Pengagihan Bakul Kasih PRIHATIN-MAIWP yang berlangsung di Surau Al-Mustaqim PPR Pinggiran Bukit Jalil 2.

Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad.

Seramai 2,000 penerima yang layak di bawah kategori asnaf telah menerima manfaat dari program KASIH PRIHATIN- MAIWP dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN).

Dalam masa sama seramai 1,000 orang penerima yang layak menerima zakat daripada Bank Rakyat di PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Neelofa dan suami turut bersama-sama Tuan Haji Idris menyantuni penduduk yang layak menerima zakat di Blok K, PPR Pinggiran Bukit Jalil.