Kumpulan Rock terkenal dari Indonesia, Radja telah memukau penonton dan peminat menerusi Konsert Live: Jujur Takkan Melupakanmu di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 12 November lalu.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu turut menampilkan beberapa tetamu undangan khas seperti anak kepada vokalis dan gitaris Radja, serta ratu rock negara, Ella.

Menerusi konsert berkenaan Radja mempersembahkan lagu-lagu hits mereka seperti Bulan, Selalu Jauh Dari Cinta, Wahai Kau Cinta, Tetaplah Kau Jadi Milikku, Manusia Biasa, Yakin, Tulus, Aku Ada Kerana Kau Ada, Call Me, Angin, Benci Bilang Cinta, Ga Ada Waktu, Jujur, Takkan Melupakanmu dan Sepi Sekuntum Mawar Merah secara duet dengan Ella.

Dalam pada itu, penganjur konsert, Orange International Entertainment turut memaklumkan bahawa RM5,000 daripada hasil jualan tiket disumbangkan untuk tabung Palestine.

Vokalis Radja, Ian Kasela, turut mengingatkan penonton supaya sentiasa mengingati kesukaran dan dugaan yang dialami oleh rakyat Palestin.

“Anda memang menakjubkan Kuala Lumpur. Tapi di sebalik keriuhan, jangan lupa doakan saudara kita di Palestin,” katanya.

Sekadar info, Kumpulan Radja sebelum ini telah menjalankan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru pada 11 Mac lepas.

BERITA TRENDING: Siti Nurhaliza Tangguh Konsert, Gantikan Persembahan Amal Demi Palestin