Pelakon dan pengacara, Zoey Rahman tidak menyangka akan menerima kejutan ketika sambutan ulang tahun kelahirannya semalam (Ahad).

Zoey ketika dihubungi berkata, dia mula berasa hairan apabila tetamu yang hadir memberitahu ada cara untuk memotong kek hari jadinya itu.

“Saya sikitpun tak jangka dalam kek tu mereka letak iPhone 11 Max Pro dan wang tunai. Patutlah masa nak potong tu mereka kata kena ikut step.

“Masa tu hairan juga, tapi saya layankan saja. Mula-mula saya tarik logo Mikaseries, lepas tu saya angkat lapisan pertama dan nampak telefon.

“Selepas itu, mereka minta saya tarik pula wang tunai berjumlah RM350, simbolik sempena ulang tahun kelahiran ke-35 pada tahun ini,” katanya teruja.

Tambah Zoey, dia tidak dapat menghidu kejutan yang dirancang oleh beberapa teman rapat dan kumpulan pengurusannya Mikaseries, tambahan lagi tarikh hari lahirnya sudah berlalu 3 Januari lepas.

“Selalunya kalau sambutan hari jadi saya akan keluar makan dengan kawan-kawan rapat, jadi saya memang tak terfikir langsung yang mereka rancang majlis sambutan hari jadi untuk saya.

“Lagipun mereka kata ada mesyuarat tentang bisnes. Apapun, saya nak ucap terima kasih kepada kawan-kawan saya, terutaman Mikaseries kerana kek hari lahir yang mahal itu.

“Terima kasih juga kerana sentiasa ada bersama saya dan menyokong kerjaya seni serta perniagaan saya selama ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis kejutan tersebut ialah rakan artis, Ramlah Ram.