"Dalam Masa 3 Jam Dapat Kumpul 2 Lori Sampah" - Semak Mata Lihat Port Berbasikal Tercemar, Lihat Inisiatif Mereka Bersihkan Genting Peras!

Kamaruddin Razal
Ogos 28, 2020 18:10 MYT
Genting Peras menjadi lokasi yang sering dikunjungi oleh mereka yang gemar melibatkan diri dengan aktiviti berbasikal.
Namun begitu, destinasi yang dikenali sebagai Perez dalam kalangan pengunjung ini tercemar dengan timbunan sampah sarap yang banyak.
Melihat situasi yang semakin menganggu pemandangan mata, sekumpulan anak muda melakukan inisiatif untuk membersihkan kawasan terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif dan pemilik jenama minuman Hausboom, Azri Zahier Azmi menggerakkan usaha untuk memelihara semula Perez yang tercemar dengan sampah sarap.
"Hampir setiap minggu kami akan berbasikal ke sana. Senang cakap, Perez memang dekat di hati saya dan rakan-rakan yang lain.
"Ia juga merupakan destinasi terawal yang saya jejaki semenjak melibatkan diri dengan aktiviti berbasikal.
"Setiap minggu bila kami naik ke Perez, setiap kali itulah mata tertumpu dengan timbunan sampah yang semakin lama semakin banyak.
"Sedangkan, kawasan terbabit selalu menjadi tumpuan, lebih-lebih lagi kini, bilangan mereka yang berbasikal semakin hari semakin ramai," kata Azri.
Enggan terus merungut, Azri bersama 15 orang lain yang mewakili Hausboom dan jenama kosmetik Oh Most Wanted serta Plan A membersihkan kawasan terbabit.
"Setiap kali lalu, dalam hati mesti ada kompelin melihat banyak sangat sampah. Jadi, tak mahu rungutan itu berpanjangan, kami melakukan inisiatif ini untuk membersihkan Perez.
"Dalam tiga jam juga diperlukan untuk mengumpulkan semua sampah sarap ke dalam dua buah lori. Bukan sahaja sampah-sampah biasa, sampah domestik juga banyak di sana.
"Ada lampin bayi, katil, sofa... Mangkuk tandas pun ada! Sampah sarap itu sedikit sebanyak memburukkan nama mereka yang melakukan aktiviti berbasikal di Perez walaupun kami tak rasa sampah seperti lampin bayi serta sofa dibuang oleh mereka yang berbasikal. Bantuan 'backhoe' terpaksa digunakan untuk mengorek sampah yang telah tertanam dalam tanah.
"Bukan sahaja di Perez, malah di mana-mana sahaja. Jika ada sampah, kita sendiri boleh lakukan inisiatif untuk mengutip serta membersihkannya. Saya berharap usaha ini juga dapat membuka mata orang ramai untuk tidak membuang sampah merata-rata," kata Azri lagi.
#Genting Peras #Hausboom