"Dalam Temuduga Hampir 1 Jam Saya Diperhati" - PU Amin Terima Pentauliahan Beri Ceramah di Negeri Sembilan

ZULHILMI JALIL
Disember 10, 2019 05:55 MYT
Pencetus Ummah (PU) Amin menerima pentauliahan untuk mengajar dan memberikan ceramah agama di Negeri Sembilan.
PU Amin atau nama sebenarnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokmanhakim, 29, berkongsi berita tersebut menerusi satu entri di Instagram yang memaparkan surat keputusan temuduganya dari Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.
"Alhamdulillah berjaya temuduga tauliah mengajar dan ceramah agama di masjid, surau dan seluruh premis di Negeri Sembilan.
"Dalam temuduga ini hampir satu jam saya diperhati dan diteliti oleh Jabatan Mufti dan Timbalan Mufti. Segala hal ehwal agama ditanya. Hafazan al-Quran, tajwid al-Quran, hukum-hakam dan adat setempat masyarakat," tulisnya.
Menurut PU Amin, dengan penerimaan pentauliah tersebut, dia akan sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab dan menjaga nama baik dirinya sebagai seorang pendakwah.
"Timbalan Mufti juga minta agar pelihara akhlak dan jaga nama baik pendakwah. Terima kasih Jabatan Mufti Negeri Sembilan atas kepercayaan dan tanggungjawab ini.
"Kita akan terus berbakti untuk masyarakat Negeri Sembilan khasnya dan umum buat seluruh masyarakat di Malaysia . Kita juga akan bersama sama menyatakan kebenaran dan berdakwah hingga nafas terakhir," kongsinya.
Ia merupakan pentauliahan kedua yang diterima PU Amin selepas menerima tauliah mengajar dan memberi ceramah agama di Selangor dari Majlis Agama Islam Selangor sebelum ini.
#Pencetus Ummah #PU Amin