Bintang Big Stage Musim Ke-4, Danial Chuer bakal menerajui teman-teman kuliah Konservatori Muzik, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam satu pembikinan konsert komposisi, Filomuzika: Kaleidoscope pada 5 Januari 2024.

Danial berkata, dia berasa berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh rakan sekuliah dan pensyarah untuk menerajui konsert tersebut.

“Sejujurnya, saya amat teruja untuk mempamerkan hasil-hasil komposisi dan gubahan rakan-rakan kepada orang ramai.

“Saya berharap para peminat serta orang ramai turut memberi sokongan pada konsert ini dan menyaksikan sendiri bakat-bakat baharu yang akan mewarnai industri hiburan pada masa hadapan,” katanya yang turut diberi kepercayaan untuk mengetuai Persatuan Pelajar Muzik Komposisi (MCS) di Konservatori Muzik.

Konsert Filomuzika: Kaleidoscope merupakan sebuah platform bagi mengetengahkan lapan hasil komposisi baharu serta tujuh buah lagi lagu susunan semula pelajar Sarjana Muda Muzik (Komposisi).

Ia bakal dimeriahkan lagi dengan kehadiran artis-artis tanah air seperti Ranisha Faizul, Afiq Adnan, Ash Fasryll serta artis jemputan khas, Aisha Retno.

Terbuka kepada orang ramai, tiket menyaksikan konsert Filomuzika: Kaleidoscope boleh didapati di laman web FINEPay UiTM.

Pertanyaan berkenaan pemasaran dan maklumat lanjut mengenai konsert boleh dilakukan dengan menghubungi Ilham Ibrahim di talian 013-381 1881.