Laman Utama
Dapat Bayaran Cecah Lima Angka, Linda Hashim Kembali Berlakon Selepas Empat Tahun Berehat
Pelakon Linda Hashim, 37, berkongsi berita gembira apabila kembali berlakon selepas empat tahun berehat daripada bidang lakonan.
Menurut Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim berkata dia terpaksa menolak tawaran sebelum ini disebabkan ingin memberi fokus kepada anak-anak.
Namun, rezeki kali ini tidak mampu ditolak memandangkan bayaran yang diterima agak lumayan.
"Hampir empat tahun saya tak pegang skrip. Minta maaf kepada producer-procedur yang sebelum ni ada tanya date tapi Linda menolak atas sebab nak fokus jaga anak-anak dulu.
"Tapi bila dah banyak drama yang Linda tolak, sejak akhir-akhir ini bila payment dia pun cecah dalam lima angka rasa macam menolak rezeki pula bila Allah bagi.
"Orang lain sampai tak ada kerja nak bekerja. Memang rasa ralat sangat tolak rezeki Allah bagi dan sedih sangat tak dapat masuk set jumpa kawan-kawan lama tapi kesiankan anak-anak ni jadi tolak ja dulu," tulisnya di Instagram (IG).
Dalam pada itu, pelakon filem Tanda Putera menyatakan dia akan berusaha untuk membahagikan masa sebaiknya antara keluarga dengan kerjaya.
Tambahnya, tugas dia akan menjadi lebih ringan kerana dibantu ibu mentua serta suami tercinta, aktor Beego.
"Tapi kali ini mungkin dah sampai masa dan ramai pun dah bertanya Linda bila nak berlakon balik jadi saya cuba bahagikan masa sebaiknya untuk keluarga dan penggambaran atas bantuan ibu mentua kesayangan saya dan suami Beego yang sangat memahami.
"Semoga Allah permudahkan urusan saya dan kita semua. Persoalannya sekarang ini macam mana la rupa lakonan saya setelah dekat empat tahun tak berlakon ni? Boleh ke tak," tulisnya lagi.
Linda dan Beego merupakan pasangan selebriti yang banyak membintangi drama Melayu di kaca televisyen.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 8 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 6, Anggun Cassandra, 5, dan Indah Camella, 2.
Must-Watch Video