Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Dapat 'Green Light' Dari Anak & Keluarga, Ashira & Bad Buat Majlis Nikah Dulu - "Saya Bukan Muda Sangat Nak Bercinta Lama .."

Zulaikha Yusof 30/01/2021 | 16:08 MYT
Bekas peserta program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), Ashira Aziz, 36, memilih untuk tidak melengah-lengahkan majlis perkahwinannya dengan Bad, 46, daripada kumpulan Indigo yang dijangka pada Mac depan.
Siapa sangka, program GV7 menjadi saksi pertemuan antara Ashira dan Bad sehingga membawa hubungan cinta ke bahtera rumah tangga.
Menurut Ashira, hubungan mereka sudah mendapat restu daripada keluarga terutama ayahnya yang sudah lama menginginkan dia berkahwin buat kali kedua.
"Saya dah pernah lalui perpisahan dan bukan muda sangat nak bercinta lama. Benda baik seeloknya kita cepatkan.
"Keluarga pun dah lama sangat berharap saya akan bertemu jodoh terutama sekali abah. Dia memang pernah cakap permintaan dia kepada saya.
"Masa itu saya jawab tak boleh nak tunaikan sebab belum terbuka hati nak berumah tangga lagi. Allah hadirkan dia dalam mimpi saya, mungkin doa saya termakbul.
"Kedua-dua belah pihak keluarga pun dah beri restu, jadi insya-Allah.. Saya harap dialah yg tertulis untuk saya," katanya kepada Gempak.
Tambah pemilik nama Sharifah Nur Ashira, mereka membuat keputusan untuk melakukan syarat wajib dahulu iaitu akad nikah susulan keadaan wabak Covid-19 yang masih membimbangkan.
"Kalau diizinkan Allah memang rancang nak nikah dulu. Majlis resepsi Insya-Allah bulan Jun sebab keadaan Covid-19 sekarang tak mengizinkan nak buat majlis sekali," katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Selamanya Takkan Berakhir menyatakan anak lelakinya, Megat Shazril Haziq Hadi, 15, menerima baik dengan kehadiran Bad.
"Anak saya terima Bad dengan gembira sekali. Dia ada cakap asalkan saya gembira dia pun tumpang sekali.
"Dah jadi kawan baik pun dengan Bad. Sekarang asyik cari Bad saja, saya terbiar dah. Apa pun, minta doakan yang baik-baik untuk kami," katanya lagi.
Terdahulu, Ashira pernah mendirikan rumah tangga namun bercerai dengan bekas suaminya pada tahun 2015.
Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah adalah seorang duda yang mempunyai sepasang cahaya mata iaitu Rayyan, 12, dan Rania, 11.
#Bercinta #Kahwin #GV #Mac #Ashira #Bad
;